Angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Jumaat ini

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob -Foto Bernama
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob -Foto Bernama
A
A
A

MELAKA TENGAH - Istiadat Mengangkat Sumpah Ketua Menteri Melaka yang baharu akan diadakan pada Jumaat ini.

Persetujuan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob itu dimaklumkan menerusi kenyataan media oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Hasim Hassan tadi.

“Adalah dimaklumkan bahawa Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka telah bersetuju agar Istiadat Pengurnian Suratcara Perlantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka ke-12 diadakan pada 6 Mac 2020.

"Tuan Yang Terutama yang diPertua Negeri Melaka turut bersetuju Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka untuk membentuk Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perlantikan," katanya dalam kenyataan media itu.

Jawatan Ketua Menteri yang sebelum ini disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari dari parti Amanah selama setahun lapan bulan itu kosong setelah Barisan Nasional (BN) menerusi Perikatan Nasional (PN) dengan gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin lalu.

Namun sehingga saat ini belum ada nama wakil rakyat di negeri ini yang diputuskan menjadi Ketua Menteri baharu dan masih menjadi teka teki rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid bertemu Yang Dipertua Negeri Melaka

Artikel Berkaitan: