Pengawal keselamatan tak boleh diharap

Thaiveegan menunjukkan TV LED yang berjaya ditemui semula.
A
A

NIBONG TEBAL - Tiga bekas pengawal keselamatan dan seorang lelaki warga asing berjaya diberkas selepas terlibat dengan kejadian mencuri 28 buah TV LED daripada sebuah stor tapak pembinaan di Batu Kawan di sini pada 10 Januari lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, sebaik menerima laporan daripada pemaju hartanah itu, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi memburu dalang yang terlibat dengan kejadian berkenaan.

“Tidak sampai 24 jam siasatan dilakukan, polis berjaya menahan empat lelaki berkenaan yang berusia antara 21 dan 48 tahun dalam dua serbuan berasingan di Batu Kawan dan Simpang Ampat.

“Tiga daripada suspek sebelum ini bertugas di tapak pembinaan berkenaan. Mereka diberhentikan kerja pada 28 Disember lalu dipercayai menceroboh stor berkenaan dari 20 hingga 26 Disember dan melarikan kesemua TV LED itu menggunakan sebuah kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad di sini, hari ini.

Menurutnya, tindakan pantas pasukan polis berjaya menemui semula 26 buah TV LED dan dua unit lagi dipercayai dijual serta merampas sebuah kereta dipercayai digunakan suspek untuk membawa semua barangan curi berkenaan.

“Siasatan juga mendapati, kumpulan berkenaan sebelum ini menjual TV LED berkenaan melalui laman Facebook dan aplikasi WhatsApp dengan menawarkan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

“Mereka mendakwa kesemua TV berkenaan adalah barangan rampasan yang dibuat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan ia dijual daripada harga RM1,000 hingga RM2,000 sedangkan harga di pasaran dijual antara RM4,000 dan RM7,000,” katanya.

Thaiveegan berkata, disebabkan tawaran harga yang murah, ramai yang tertarik dengan iklan berkenaan tanpa menyedari ia sebenarnya barangan curi dan polis kini sedang mengesan dua buah TV yang masih hilang dipercayai sudah dijual.

“Salah seorang daripada suspek yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau atas kesalahan samun dan dadah. Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Thaiveegan mengingatkan kepada semua syarikat kawalan keselamatan supaya membuat tapisan dan menyemak rekod jenayah kesemua pekerja sebelum dibenarkan bekerja.

Beliau turut meminta kepada pembeli TV LED berkenaan supaya tampil membantu siasatan berikutan memiliki barangan curi boleh ditangkap dan didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta hasil samun.