Chelsea robek luka Liverpool

Reaksi pemain Liverpool selepas tewas kepada Chelsea.
Reaksi pemain Liverpool selepas tewas kepada Chelsea.
A
A
A

LIVERPOOL ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Chelsea 0-2 di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan The Reds mengharungi tiga kekalahan dalam tempoh tiga minggu selepas tewas kepada Atletico Madrid 0-1 dalam perlawanan Liga Juara-Juara dan tunduk kepada Watford 0-3 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menilai kekalahan terbaru kepada Chelsea itu sebagai sesuatu yang amat mengecewakan, namun tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemainnya.

“Kalah dua gol adalah sesuatu yang tidak bagus tetapi perlawanan ini mudah untuk diterangkan. Kami membuat dua kesilapan besar sehingga Chelsea berjaya menjaringkan gol.

“Selepas kami melepaskan gol kedua, segalanya bertambah sukar dengan pemain Chelsea bertahan dengan penuh berdisiplin.

“Tetapi, saya berpuas hati dengan cara kami bermain. Saya suka reaksi pemain dan semua perlu tahu bahawa perlawanan ini berintensiti tinggi dan pemain telah memberikan segalanya,” katanya yang melakukan tujuh pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan pada perlawanan tersebut.

Dalam perlawanan itu, Willian membuka tirai jaringan pada minit ke-13 sebelum Ross Barkley menambah gol kedua pada minit ke-64 untuk mengesahkan kemaraan Chelsea ke saingan suku akhir.

Dalam pada itu, Klopp mengakui tidak panik dengan deretan kekalahan yang dialami Liverpool, sebaliknya percaya pemainnya mampu kembali meraih momentum kemenangan dalam perlawanan akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak risau dengan momentum kerana para pemain akan mendapatkan semula kemenangan untuk pasukan. Tetapi, saya mahu tegaskan bahawa dalam bola sepak tiada yang mudah dan kita tetap akan merasai kekalahan.

“Namun, harus diakui dalam empat perlawanan terakhir ini kami banyak melepaskan gol dan gagal bertahan dengan baik.

“Saya melihat perkara tersebut dan ia bukanlah masalah besar yang mampu menggugat pasukan. Ada ketika kita berhadapan dengan kesukaran dan perlawanan hari ini kita kurang berkesan dan perlu menerimanya,” katanya.