Penduduk Islam India berduka

No Image Caption
A
A
A

MUSIM bunga telah tiba di New Delhi, India. Tumbuh-tumbuhan kembali menghijau dan langit biru memberikan pandangan yang menyegarkan.

Bunga pertama mekar di taman, namun satu pun tidak sempat dilihat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semasa lawatan singkatnya ke ibu kota India itu pada minggu lalu.

Kedatangan lelaki obes berambut perang itu sebaliknya dibayangi rusuhan yang pada mulanya bermula dengan bantahan terhadap Akta Pindaaan Kewarganegaraan (CAA) yang disifatkan sebagai anti-Islam.

Bantahan pada skala kecil itu kemudian merebak menjadi pertempuran antara penganut Hindu dan penduduk Muslim.

Menjelang malam 27 Februari, hampir 40 nyawa terkorban menyebabkan 38 buah keluarga Muslim terjerumus ke dalam terowong kesedihan yang tidak berpenghujung.

Kehidupan mereka yang serba kekurangan dirosakkan oleh pembakaran dan pembunuhan perkauman terburuk pernah disaksikan New Delhi sejak rusuhan anti-Sikh yang tercetus susulan pembunuhan Perdana Menteri, Indira Gandhi oleh dua lelaki berketurunan Sikh iaitu Satwant Singh dan Kehar Singh pada 1984.

Semua yang terbunuh dalam keganasan lebih tiga dekad lalu itu ialah penduduk berketurunan Sikh kecuali lima mangsa beragama Islam.

Berbeza dengan rusuhan 34 tahun lalu yang tercetus akibat kemarahan spontan penyokong Indira Gandhi, rusuhan kali ini seolah-olah dirancang kerana rumah dan kedai milik komuniti beragama Islam di timur New Delhi terus menjadi sasaran keganasan.

Artikel Berkaitan:

Foto, video dan hantaran di media sosial dipenuhi dengan imej mengerikan, kebanyakannya memaparkan bagaimana samseng Hindu membelasah penduduk tidak bersenjata.

Undang-undang

Keganasan di New Delhi adalah serangan berterusan yang sengaja dirancang ke atas umat Islam yang telah turun berdemonstrasi menentang CAA dan ‘saudara kembarnya’ iaitu Pendaftar Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC). Di bawah NRC, penduduk Islam yang gagal membuktikan ibu bapa atau datuk nenek mereka menetap di India bakal berdepan pengusiran.

Sebenarnya, serangan ke atas komuniti Islam dikepalai oleh Kapil Mishra iaitu seorang politikus muda yang bercita-cita tinggi daripada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narenda Modi yang memerintah India sekarang.

Difahamkan, Mishra tewas pada pilihan raya negeri di New Delhi dan menyalahkan pengundi Islam di atas kekalahannya.

Pada 23 Januari lalu, Mishra telah memuat naik tweet berbaur hasutan meminta penyokongnya berkumpul di New Delhi bagi menggagalkan protes CAA oleh sekumpulan wanita Islam.

Pada hari pertama rusuhan, pasukan keselamatan terutamanya polis dilihat cuba mengawal dan mencegah keganasan di beberapa lokasi. Namun, insiden seorang anggota polis cedera pada kepala menyebabkan situasi berubah lebih parah. Sejak itu, polis dilihat tidak aktif dan hanya membiarkan perusuh bertempur sesama sendiri.

Imej di surat khabar dan media sosial menunjukkan anggota polis yang dikerah ke lokasi rusuhan hanya berdiri dan mendiamkan diri ketika kedai-kedai milik komuniti Islam dibakar.

Lebih mengejutkan, mereka turut membiarkan samseng Hindu membelasah pemuda Islam.

Pihak polis turut dituduh tidak neutral kerana bertindak membaling batu kepada penduduk Islam yang berhimpun membantah CAA dan NRC.

Ada dalam kalangan mereka begitu bernafsu dan ghairah menangkap penunjuk perasaan yang menentang undang-undang kontroversi tersebut.

Persoalan yang timbul, kenapa polis tidak menahan Karpil Mishra kerana beliau sebenarnya yang mencetuskan huru-hara di New Delhi dan menghasut penyokongnya bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan beragama Islam.

Penulis merasakan situasi tegang di India akan berlarutan buat tempoh masa yang lama. Modi sepatutnya bertindak segera bagi mengelak lebih banyak kematian.

*Afdah Mujad ialah Ketua Meja Global Sinar Harian