'Kak Wan sangat prihatin'

Dr Wan Azizah bersama Timbalannya, Hannah Yeoh sewaktu menyandang jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kerajaan Pakatan Harapan. - Foto Facebook Hannah Yeoh
Dr Wan Azizah bersama Timbalannya, Hannah Yeoh sewaktu menyandang jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kerajaan Pakatan Harapan. - Foto Facebook Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyatakan bahawa beliau bangga diberi peluang berkhidmat bersama bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau yang pernah menyandang jawatan Timbalan KPWKM menyifatkan Dr Wan Azizah seorang ketua yang ringkas dan tidak suka dihargai secara berlebihan.

Menurutnya, selain itu, beliau turut mengakui dalam beberapa bulan pertama, beliau bergelut untuk mencari rentak dalam mentadbir kementerian tersebut.

"Namun, apabila kami menemui sinergi, bak kata kiasan, kami terus menari bersama! Pejabat beliau di tingkat 38 manakala saya di tingkat 37.

"Kedua-dua pasukan masing-masing bekerjasama rapat. Kami berbincang, sama-sama cuba memahami masalah dan mengambil langkah terbaik bagi menyelesaikannya sebagai satu pasukan," kongsinya di akaun Facebooknya hari ini.

Katanya, beliau banyak belajar mengenai isu kemasyarakatan dan kesabaran daripada Dr Wan Azizah yang mempunyai pengalaman dan latar belakang sebagai doktor perubatan.

"Dalam setiap mesyuarat, Kak Wan (panggilan Dr Wan Azizah) selalu menekankan kepentingan untuk melindungi kanak-kanak dan kebajikan mereka, fokus kepada keperluan golongan warga emas dan benar-benar menjaga perasaan golongan orang kurang upaya (OKU).

"Dalam keadaan tertentu, beliau akan berbisik kepada saya bahawa beliau mahukan serba ringkas saja atau jika ada orang mahu menghargainya dengan berlebihan, beliau akan cakap tak payah.

Artikel Berkaitan:

"Malah apabila kami berbincang bagaimana nak berjimat duit kerajaan, beliau tanpa teragak-agak mencadangkan supaya pulangkan semula kepada rakyat. Dan ya! Kami berjaya memotong perbelanjaan dan jimat sehingga RM2 juta untuk kementerian!" katanya.

Gambar dikongsi Hannah Yeoh di Facebooknya.
Gambar dikongsi Hannah Yeoh di Facebooknya.

Katanya lagi, meskipun tidak lagi menjadi kerajaan, keprihatinan Dr Wan Azizah mengenai isu berkaitan koronavirus (Covid-19) membuktikan beliau seorang yang prihatin.

“Pagi ini beliau mengirim teks WhatsApp kepada saya meluahkan kerisauannya mengenai Covid-19 dan kesannya kepada golongan sasar iaitu kami terlebih dahulu.

“Jiwa kedoktoran beliau yang sering mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia begitu sebati dengan dirinya, malah Tun Dr Mahathir Mohamad pun turut meluahkan kerisauan yang sama ketika kami bertemu pada hari Ahad lepas.

“Tentunya saya bersyukur kepada Tuhan atas peluang untuk belajar dan menabur bakti di bawah kepimpinan beliau. Sayalah yang paling bertuah dengan peluang ini,” katanya mengakhiri coretan.