Mempelai India pilih adat Melayu diiktiraf MBOR

Mempelai India memilih busana songket Melayu yang menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records kerana dihiasi reben sepanjang 407.75 meter. - Foto NSH Studios
Mempelai India memilih busana songket Melayu yang menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records kerana dihiasi reben sepanjang 407.75 meter. - Foto NSH Studios
A
A
A

KEPALA BATAS - [DIKEMASKINI] Pasangan mempelai berbangsa India mengenakan busana songket tradisional Melayu menerima pengiktirafan dalam Malaysia Book Of Records apabila mengenakan reben terpanjang pada busana pengantin perempuan.

Di sebalik kejayaan itu, Siti Zakiah Durani, 45, antara orang terpenting dalam menjayakan hasrat pasangan pengantin dikenali Rem dan Thanaselan.

Siti Zakiah berkata, dia diminta dia diminta pihak pengantin untuk membuat kelainan dan tercetus idea untuk mencipta reben terpanjang iaitu 407.75 meter.

"Saya memang sukakan cabaran, jadi saya sahut cabaran itu untuk mencipta reben terpanjang berwarna keemasan untuk dipadankan pada busana songket pengantin berwarna biru.

"Reben ini diikat di bahagian pinggang dan saya mengambil masa dua minggu untuk menyiapkannya. Walaupun nampak mudah tapi sebenarnya susah juga kerana kita perlu bijak mencari kombinasi warna selain jahitan perlu kemas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Siti Zakiah memegang sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records selepas berjaya mencipta reben terpanjang 407.75 meter.
Siti Zakiah memegang sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records selepas berjaya mencipta reben terpanjang 407.75 meter.

Ibu kepada empat cahaya mata itu yang berkecimpung dalam dunia jahitan selama 12 tahun sentiasa menerima tempahan daripada pelbagai bangsa.

"Tidak dinafikan, semua kaum pernah datang ke kedai untuk menempah pakaian. Dari Cina, India, tidak kira sesiapa pun, kitakan 1Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Saya sedia berkhidmat untuk sesiapa sahaja yang yakin dengan kualiti jahitan saya," katanya yang juga anak jati felda.

Bercerita mengenai pasangan pengantin India itu, Siti Zakiah berkata, mereka memilih pakej pakaian Melayu kerana pengantin perempuan tinggal di kawasan perkampungan Melayu.

"Saya difahamkan, mereka keluarga India tunggal yang tinggal di kawasan tersebut. Jadi, pengantin mahukan sesuatu kelainan dan memilih busana Melayu untuk memupuk perpaduan dan meraikan bersama jiran tetangga.

"Tugas saya pula merealisasikan impian mereka untuk mencipta kelainan pada hari bersejarah mereka," katanya.

Siti Zakiah bersama mempelai yang memakai reben terpanjang 407.75 meter. - Foto NSH Studios
Siti Zakiah bersama mempelai yang memakai reben terpanjang 407.75 meter. - Foto NSH Studios

Kegagalan dalam perniagaan menjadi ilmu bernilai bagi Siti Zakiah membina kejayaannya selepas melalui fasa paling digeruni insan bergelar usahawan.

"Benar setiap orang mesti ada pengalaman masing-masing. Tapi apa jua yang berlaku, saya mendapat sokongan daripada ahli keluarga termasuk suami, Farid Lokman Mohd Zain, rakan-rakan dan para pelanggan.

"Jika ditanya pengalaman manis, pastinya pengiktirafan Malaysia Book Of Records. Alhamdulillah, syukur saya berjaya mengecapi kejayaan ini," katanya.

Dalam pada itu, selain Siti Zakiah, majlis perkahwinan itu turut dijayakan oleh Yaksas Enterprises, tata rias dan busana dari Mir Za Bridal serta jurugambar dari NSH Studios.

Siti Zakiah bersama pasangan pengantin yang memakai busana songket Melayu dihiasi reben terpanjang hasil rekaannya hingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records.
Siti Zakiah bersama pasangan pengantin yang memakai busana songket Melayu dihiasi reben terpanjang hasil rekaannya hingga mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records.

Sebelum ini tular di laman sosial, pasangan pengantin berbangsa India mengenakan busana songket Melayu selain tampil kelainan memakai reben terpanjang di Malaysia sekali gus menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records.

Rata-rata netizen teruja dan gembira kerana mempelai mendalami budaya masyarakat Melayu menerusi majlis perkahwinan.