Covid-19: Korea Selatan isytihar perang

Kakitangan perubatan memeriksa kesihatan seorang pemandu di klinik pandu lalu di bandar Goyang, Korea Selatan. - Foto AFP
Kakitangan perubatan memeriksa kesihatan seorang pemandu di klinik pandu lalu di bandar Goyang, Korea Selatan. - Foto AFP
A
A
A

SEOUL - Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in hari ini mengisytiharkan perang terhadap ancaman koronavirus (Covid-19) sekali gus meletakkan semua agensi kerajaan dalam mod kecemasan selama 24 jam susulan kes jangkitan yang semakin meningkat di negara itu.

Menurut Jae-in, pemerintahan akan menyuntik lebih 30 trilion Won (RM106 bilion) ke dalam ekonomi untuk menangani wabak itu.

"Seluruh negara telah memasuki zon perang terhadap penyakit berjangkit. Semua agensi kerajaan perlu beroperasi setiap masa," katanya.

Setakat semalam, jumlah jangkitan Covid-19 di Korea Selatan adalah paling tinggi di luar China dengan 5,186 kes yang disahkan dan 28 kematian.

Bagi membendung penyebaran wabak, Korea Selatan turut melancarkan kemudahan klinik pandu lalu untuk memeriksa sama ada terdapat pemandu yang mengalami demam atau kesukaran bernafas dari tingkap kenderaan mereka.

Sama seperti keadaan ketika ingin membeli makanan segera, pemandu perlu beratur di dalam kenderaan mereka dan menyerahkan sampel cecair untuk pemeriksaan lebih teliti dengan keseluruhan prosedur mengambil masa kurang 10 minit.

"Pada mulanya saya ke pusat kesihatan komuniti dan terpaksa menunggu lebih sejam. Klinik pandu lalu ini lebih mudah dan cepat," kata seorang pemandu kepada penyiar tempatan YTN.

Dalam minggu ini, sejumlah besar kerajaan tempatan di Korea Selatan telah melancarkan kemudahan ujian tepi jalan berikutan permintaan pemeriksaan yang semakin meningkat dan peningkatan waktu menunggu boleh menyebabkan risiko jangkitan koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan:

Kemudahan ujian sementara di bandar Goyang terletak kira-kira 16 kilometer dari ibu negara Seoul dibuka minggu lalu di tempat letak kereta awam dan lebih 100 penduduk diperiksa setiap hari.

Daripada 5,186 kes yang dicatatkan di seluruh negara, hampir 90 peratus daripadanya dilaporkan di bandar Daegu dan wilayah jiran Gyeongsang Utara. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Covid-19 di luar China 9 kali ganda lebih tinggi: WHO