JDT raih tiga mata berharga

Cabrera (kanan) melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. - Foto FB JST
Cabrera (kanan) melakukan percubaan ke arah pintu gol lawan pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. - Foto FB JST
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) meraih tiga mata berharga apabila menewaskan kelab Korea Selatan, Suwon Bluewings 2-1 pada aksi kedua Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Kekalahan 1-5 kepada kelab Jepun, Vissel Kobe pada aksi sulung peringkat kumpulan bulan lalu ternyata sudah dilupakan skuad Harimau Selatan itu apabila mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan.

Berbekalkan sokongan padu penyokong sendiri, JDT terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi Gonzalo Cabrera yang menyempurnakan sepakan penalti setelah penyerang, Diogo Luis Santo dijatuhkan dalam kawasan penalti.

Tersentak dengan gol tersebut, kesebelasan Suwon Bluewings dilihat mula bangkit mengatur serangan ke kubu JDT bagi memburu gol penyamaan. Namun, setiap asakan mereka berjaya dikekang barisan pertahanan JDT.

Skuad Harimau Selatan memiliki peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-38 apabila Diogo berjaya mengawal bola melepasi kawalan pertahanan lawan. Bagaimanapun, larian solo penyerang Brazil itu akhirnya berjaya dikekang pertahanan Suwon Bluewings, Doniel Henry.

Diogo diasak pemain Suwon Bluewings pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. - Foto FB JST
Diogo diasak pemain Suwon Bluewings pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim sebentar tadi. - Foto FB JST

Sebaik babak kedua bermula, Suwon Bluewings hampir menjaringkan gol penyamaan menerusi Adam Taggart, namun tandukannya tepat ke dakapan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Pasukan pelawat akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi rembatan Taggart pada minit ke-50 bagi menewaskan Farizal.

Artikel Berkaitan:

Menerusi satu serangan balas, JDT berjaya memperoleh gol kedua yang juga jaringan kemenangan mereka hasil tandukan tonggak pertahanan, Mauricio Nascimento hasil hantaran lintang Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-72.

Menuju wisel penamat, Suwon Bluewings semakin hebat mengasak gawang JDT bagi mencari gol penyamaan, namun benteng skuad Harimau Selatan terus kental bertahan sehingga tamat perlawanan.