Ibu tunggal sorok dadah dalam timbunan baju

PDRM
A
A

ROMPIN - Polis menahan seorang ibu tunggal dan anak perempuannya yang dipercayai aktif mengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tenggalong, Muadzam Shah.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan, Azli Mohd Noor berkata ibu tunggal berusia 47 tahun dan anak perempuannya, 28 tahun itu dipercayai aktif melakukan kegiatan mengedar dadah di sekitar kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di rumah itu, polis berjaya menemui satu bungkusan plastik yang diselitkan di bawah timbunan baju, berisi satu peket plastik lut sinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 82.26 gram .

"Lima lagi peket dipercayai mengandungi dadah jenis yang sama seberat 5.9 gram turut ditemui di atas sebuah lagi rak baju di bilik itu dan kesemua dadah yang dirampas dianggar bernilai RM13,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Azli berkata kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah membabitkan kesalahan dadah dan ujian saringan air kencing adalah negatif.

Katanya, kedua-dua suspek kini kini direman seminggu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam serbuan di belakang sebuah rumah di Felda Selendang 4, petang semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun dan merampas dadah jenis heroin seberat 896 gram di dalam sebuah beg yang bimbitnya.

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah mangsa, polis menemui satu bekas plastik dibalut pita pelekat hitam bersama dua paket lut sinar berisi serbuk putih dan ketulan kiub disyaki dadah jenis sama (heroin) seberat 70.66 gram yang kesemuanya bernilai RM48,500.

Azli berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah yang dirampas itu, diperoleh dari Mersing sebelum dijual kepada pembeli sekitar Felda berkenaan.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek yang merupakan seorang penganggur tidak mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah.

Katanya, suspek positif dadah jenis Opiat, kini direman seminggu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- Bernama