Tun M nafi krisis politik bermula lepas beliau letak jawatan

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa krisis politik yang berlaku ketika ini berpunca selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Dr Mahathir berkata, beliau meletakkan jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, beliau tidak lagi mendapat sokongan daripada penyokongnya.

“Benarkah, tiba-tiba tanpa sebab saya letak jawatan? Saya yang kononnya disokong oleh parti kerajaan dan parti lawan, termasuk (Datuk Seri) Najib Tun Razak dan beberapa lagi yang sedang dibicara atas tuduhan rasuah menyokong saya? Ini tidak masuk akal,” katanya menerusi catatan terbaharu di blognya, Chedet.cc hari ini.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau:

Perdana Menteri mendakwa krisis politik bermula apabila saya, Mahathir Mohamad letak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Benarkah tiba-tiba tanpa sebab saya letak jawatan? Saya yang kononnya disokong oleh parti kerajaan dan parti lawan termasuk (Datuk Seri) Najib Tun Razak dan beberapa lagi yang sedang dibicara atas tuduhan rasuah menyokong saya? Ini tidak masuk akal.

Yang benar ialah saya letak jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong saya tidak dapat sokongan dari penyokong saya. Saya tidak dapat majoriti dan tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri.

Di Istana (Negara) peletakan jawatan saya diterima. Saya diarah pegang jawatan Perdana Menteri buat sementara.

Artikel Berkaitan:

Siapa yang akan ganti saya. Rakyat bosan dengan orang politik yang lebih utama politik dari pentadbiran yang baik.

Saya cadang diadakan satu Kerajaan Nasional yang bukan orang politik yang berpengetahuan juga akan menyertai kerajaan. Orang parti juga akan menyertai kerajaan tetapi sebagai orang biasa yang tidak tertakluk kepada agenda parti mereka.

Tetapi cadangan saya ditolak. Saya pun letak jawatan. Dan berlarutanlah krisis ini. Saya tidak tahu bila ia akan tamat.