Ada kawan-kawan Perikatan Nasional hubungi saya: Hasnul

Hasnul Zulkarnain menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan sempena program Sembang Santai @ Tengku Hussein, Manjoi hari ini.
Hasnul Zulkarnain menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan sempena program Sembang Santai @ Tengku Hussein, Manjoi hari ini.
A
A
A

IPOH - Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mendedahkan beliau dihubungi beberapa individu daripada Perikatan Nasional.

Menurutnya, individu-individu tersebut tidak pernah menghubunginya sebelum ini, namun tiba-tiba bertanyakan khabar.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang bentuk tawaran diterima daripada individu tersebut, namun yakin tindakan berkenaan mempunyai agenda tertentu.

"Saya dihubungi kawan-kawan daripada Perikatan Nasional bertanyakan khabar bagaimana pendirian saya tetapi alhamdulillah saya meletakkan pendirian saya, saya akan membawa prinsip perjuangan Pakatan Harapan (PH) memartabatkan negeri Perak.

"Tawaran belum dibincangkan cuma mereka sebelum ini tak pernah berhubung dengan saya tiba-tiba menghubungi saya," katanya kepada pemberita pada program Sembang Santai @ Tengku Hussein, Manjoi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain mengesahkan bahawa PH Perak mengadakan mesyuarat malam semalam bagi membincangkan situasi kerajaan di Perak.

Menurutnya, hasil mesyuarat tersebut memutuskan untuk kekal menyokong Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan mengenai laporan sebuah portal berita mengatakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH akan melompat.

Artikel Berkaitan:

"Semalam ada dibincangkan (dakwaan ADUN PH melompat), tetapi semua parti mengakui tidak ada wakil rakyat mereka yang akan melompat," katanya.

Mengenai sindiran netizen bahawa tindakannya menangis ketika di pejabat Exco semalam sebagai lakonan, Hasnul Zulkarnain berkata, perbuatan itu berlaku secara spontan kerana mengenangkan keakraban bersama pegawai-pegawai di pejabat.

Menurutnya, kesedihan itu dijelmakan atas dasar kasih sayang dan bukan untuk mencari simpati sesiapa.

"Kepada rakyat di luar sana, saya mohon maaf mungkin video itu membuatkan rakyat tidak selesa, tetapi itu daripada hati saya sendiri kerana saya bimbang saya tidak mampu lagi berkhidmat kepada rakyat Perak lagi.

"Tetapi saya lega selepas mendapat khabar daripada menteri besar, semangat saya pulih dan saya tetap meneruskan kerja bakti kepada rakyat," katanya.

Semalam, Hasnul Zulkarnain tidak dapat menahan kesedihannya apabila mengenangkan kemungkinan terpaksa meninggalkan tugas sebagai Exco kerajaan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangka tinggalkan pentadbiran negeri, Exco Perak menangis