Gunung Merapi meletus, cetus amaran penerbangan di Indonesia

Gunung Merapi meletus awal pagi tadi. - Foto Twitter BPPTKG
Gunung Merapi meletus awal pagi tadi. - Foto Twitter BPPTKG
A
A
A

YOGYAKARTA - Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi meletus awal pagi tadi dan memuntahkan debu setinggi kira-kira 6,000 meter di udara.

Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Bencana Geologi Indonesia (BPPTKG) dalam satu kenyataan memberitahu, amaran penerbangan kod merah yang paling tinggi telah dihantar untuk memaklumkan semua juruterbang bahawa letusan telah berlaku dan debu dibebaskan ke atmosfera.

Debu bercampur pasir menghujani bandar sejauh 10 kilometer dari kawah gunung selepas ia meletus pada jam 5.22 pagi (waktu tempatan).

"Terdapat bunyi kuat sekurang-kurangnya selama lima minit dan saya dapat lihat kepulan debu dari rumah saya," kata seorang penduduk di wilayah Boyali, Jarmaji.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak menaikkan status amaran gunung berapi, namun menutup sementara lapangan terbang antarabangsa di bandar Solo yang juga dikenali sebagai Surakarta yang terletak sejauh kira-kira 40 kilometer.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan menurut ketua kampung tempatan, penduduk masih menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa.

"Penduduk sedang memantau situasi semasa. Pelajar masih ke sekolah dan petani masih ke ladang," kata ketua kampung Klakah, Marwoto.

Gunung Merapi diletakkan dalam amaran berjaga-jaga, tahap ketiga paling tinggi dalam sistem pemantauan empat tahap gunung berapi sejak 21 Mei 2018 dan kali terakhir meletus pada 13 Februari lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: