Ahli Bersatu Pasir Puteh dakwa wujud penyelewengan kuasa

Rozaman (empat dari kanan) bersama ahli Bersatu DUN Limbongan membuat laporan di IPD Pasir Puteh.
Rozaman (empat dari kanan) bersama ahli Bersatu DUN Limbongan membuat laporan di IPD Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - [DIKEMASKINI] Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Parlimen Pasir Puteh membuat laporan polis berhubung dakwaan wujudnya penyelewengan kuasa oleh ketua penaja bahagian.

Bekas Bendahari DUN Limbongan, Datuk Mohd Rozaman Yahya mendakwa penyelewengan itu membabitkan keahlian menyebabkan tiga individu yang merupakan ketua cawangan dari Gaal, Temilar dan Telosan tidak dapat bertanding pada pemilihan bahagian pada 21 Mac ini.

“Nama ketiga-tiga individu tersebut didapati tiada dalam senarai ahli sekali gus menyebabkan mereka tidak layak untuk bertanding.

“Sedangkan ketiga-tiga mereka telah membayar yuran dan mengisi borang untuk menjadi ahli parti,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh hari ini.

Mohd Rozaman berkata, beliau telah merujuk perkara tersebut kepada pucuk tertinggi parti dan mereka mengesahkan nama ketiga-tiga individu berkenaan tiada dalam senarai.

Dakwanya, perkara itu cukup mengejutkan mereka dan ini merupakan kali kedua perkara tersebut berlaku.

“Sebelum ini 117 ahli Bersatu di DUN Selising telah dibuang dari senarai ahli.

“Namun bila kita menyatakan mahu membuat laporan polis mereka telah mengembalikan semula senarai itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap, pucuk pimpinan parti dapat menyiasat perkara tersebut dengan sebaik mungkin bagi memastikan individu terbabit dikenakan tindakan.

Pemilihan kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara penyandang, Datuk Kamaruddin Mohd Nor dengan Wan Marzudi Wan Omar serta Gani Hussin.