Politik Johor: Pimpinan Amanah tetap tenang

Aminolhuda
Aminolhuda
A
A
A

BATU PAHAT - Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor tetap tenang dalam menghadapi keadaan politik ketika ini pada masa sama berbangga di atas perkhidmatan parti selama ini.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, sepanjang 20 bulan sebagai Pakatan Harapan (PH), pelbagai inisiatif telah dilakukan khususnya bagi membantu warga miskin dalam kategori B40.

"Atas sebab itu kami berbangga. Di atas perkhidmatan terbaik itu juga kami terus berusaha mempertahankan kerajaan PH yang sah dari segi undang-undang selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14).

"Dari segi moral, kami tidak bersalah. PH menang melalui PRU14 secara sah dan diperakui oleh seluruh dunia. Mengapa pula kami perlu malu kepada masyarakat? Mengapa kepada kami pula diletakkan kesalahan atas peristiwa hitam yang akan tercatit sebagai bahan sejarah buruk demokrasi negara Malaysia tercinta ini? Kami bukan pencuri tampuk pemerintahan di tengah jalan," kata beliau menerusi Facebooknya.

Penyelaras PH Johor itu berkata, rakyat kini sedang melihat dan menilai siapa sebenarnya pemimpin politik Malaysia khasnya pemimpin Melayu yang mempunyai integriti, maruah dan jati diri serta berprinsip.

"Kami bersyukur kerana pimpinan kami seperti Tun Dr Mahathir (Mohamad), Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan Mohamad Sabu tidak bersama kumpulan yang sudah maklum sebagai kumpulan ahli politik salah guna kuasa dengan pelbagai skandal tidak bermaruah dengan pelbagai tuduhan yang sepatutnya mereka hadapi di mahkamah.

"Saya sangat berbangga apabila anak muda seperti Syed Saddiq (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) berani menerima risiko dari partinya sendiri kerana menentang gabungan yang dipersoalkan integriti. Anak muda yang mahu melihat masa depan negara dipimpin oleh pemimpin yang bermaruah. Keberanian inilah yang akan membawa imej negara lebih dihormati dan dipercayai di peringkat antarabangsa.

"Saya mengajak Dr Mahathir dan seluruh rakyat Malaysia menyertai parti dalam Pakatan Harapan demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Parit Yaani.

Artikel Berkaitan:

Johor kini ditadbir oleh kerajaan gabungan baharu terdiri daripada gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, MIC dan Pas bagi menggantikan pentadbiran PH yang tumbang.

Keputusan itu diambil selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berpuas hati bahawa gabungan baharu itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.