Mujur komuniti bertindak pantas

Sebahagian ruang tamu yang menempatkan dapur sementara terbakar.
Sebahagian ruang tamu yang menempatkan dapur sementara terbakar.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan pantas komuniti Blok F18, Presint 18 di sini berjaya menyelamatkan sebuah unit kuarters kerajaan daripada hangus terbakar.

Penghuni rumah berkenaan, Mahani Ismail berkata, dia mengetahui perkara itu melalui WhatsApp komuniti.

"Saya tengok WhatsApp dan mendapati rumah yang terbakar itu rumah saya," katanya yang terus bergegas pulang.

Menurutnya, setibanya di rumah, api berjaya dipadamkan.

"Ia bermula di dapur sementara yang diletakkan di sebelah sofa di ruang tamu," katanya.

Dia yang bertugas sebagai penolong akauntan Jabatan Akauntan Negara itu dimaklumkan sebuah unit sementara di Presint 8 akan diberikan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Putrajaya.

"Saya sudah menduduki rumah ini selama 12 tahun, tidak sangka ia berlaku sebegini," katanya ketika ditemui Sinar Harian tengah hari tadi.

Sebahagian ruang tamu yang menempatkan dapur sementara terbakar.
Sebahagian ruang tamu yang menempatkan dapur sementara terbakar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Penguasa Kanan Bomba I, Hafizal Mohd Razali ketika dihubungi Sinar Harian berkata, hanya rak dapur sahaja yang terbakar dalam kejadian jam 10 pagi tadi.

"Tindakan komuniti di sini patut dipuji dan dijadikan contoh komuniti lain dalam menjaga keselamatan harta benda," katanya.

Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya menerima panggilan mengenai insiden itu jam 10 pagi sebelum tiba tujuh minit kemudian.

"Setibanya di lokasi, kelihatan komuniti Blok F18 sedang memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api dan salur bantu mula," katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba dengan kekuatan sembilan anggota kemudiannya mengambil alih tugas berkenaan dan api dapat dipadamkan dalam masa dua minit selepas itu.

"Tiada kemalangan jiwa berlaku dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran," katanya.

Terdahulu, beberapa keping gambar kebakaran di unit berkenaan tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp.