Perkhidmatan kereta api Bukit Bendera ditutup tujuh hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Perkhidmatan kereta api funikular Bukit Bendera akan ditutup sementara selama tujuh hari bermula 18 Jun depan untuk kerja penyelenggaraan tahunan berjadual kedua dalam tahun ini.

Menurut kenyataan Perbadanan Bukit Bendera (PHC), perkhidmatan kereta api itu akan beroperasi semula selepas penyelenggaraan tahunan selesai pada 25 Jun.

“PHC melaksanakan kerja penyelenggaraan berjadual sebanyak dua kali setahun di bawah pengawasan syarikat pengeluar funikular iaitu Garaventa AG daripada Switzerland untuk memastikan sistem funikular sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan memenuhi pemeriksaan syarat keselamatan yang ketat.

“PHC juga menjalankan pemeriksaan rutin dan penyelenggaraan terhadap sistem funikular pada setiap hari, mingguan dan bulanan serta pemeriksaan selepas waktu operasi,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang tempoh penutupan itu, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan jip dikendalikan oleh syarikat persendirian dari Taman Botani atau menggunakan laluan mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Bendera.

“PHC mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran dan sokongan berterusan kepada Bukit Bendera. Sebarang kesulitan amatlah dikesali,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi PHC di talian 04-8288880 atau e-mel kepada inquiries@penanghill.gov.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: