Covid-19: Kakitangan UDA diarah kerja dari rumah

UDA turut mengehadkan aliran keluar masuk orang luar di ibu pejabat di samping menjalankan saringan kesihatan dan pemeriksaan suhu di lobi.
UDA turut mengehadkan aliran keluar masuk orang luar di ibu pejabat di samping menjalankan saringan kesihatan dan pemeriksaan suhu di lobi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kakitangan UDA Holdings Berhad (UDA) di Blok Menara, Kompleks Pertama diarah bekerja dari rumah bermula hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

UDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu diambil selepas seorang daripada Ahli Lembaga Pengarahnya disahkan positif koronavirus (Covid-19) seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan rasmi syarikat itu semalam.

"Berikutan kes itu juga UDA telah mengambil langkah proaktif dengan melakukan pembersihan serta kerja-kerja nyah kuman di kawasan pejabat berkenaan dan semua kakitangan di ibu pejabat dibenarkan pulang awal petang semalam bagi memudahkan kerja pembersihan itu,” kata kenyataan itu.

Dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan dan tahap kesihatan, UDA turut mengehadkan aliran keluar masuk orang luar di ibu pejabat di samping menjalankan saringan kesihatan dan pemeriksaan suhu di lobi.

“Pihak pengurusan juga memberikan penutup muka serta pembasmi kuman tangan kepada pelawat dan kakitangan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Langkah itu diambil atas saranan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 dan meningkatkan kawalan keselamatan serta tahap kesihatan,” menurut kenyataan itu.

UDA turut memaklumkan syarikat itu sentiasa komited melaksanakan langkah-langkah yang perlu mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelak penularan virus berkenaan di ibu pejabatnya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Ahli Lembaga Pengarah UDA disahkan positif: UDA Holdings

Artikel Berkaitan:

Covid-19: Ibu Pejabat UDA dibersihkan, keselamatan dipertingkat