Penuntut KKTM maut kemalangan

Mangsa maut di tempat kejadian, manakala rakannya yang membonceng motosikal mengalami kecederaan.
Mangsa maut di tempat kejadian, manakala rakannya yang membonceng motosikal mengalami kecederaan.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang penuntut Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas maut selepas motosikal yang ditunggang bersama rakannya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas berhampiran Kampung Tasek Raja di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Mohamad Shakir Izham Abdul Ghani Zukri, 19, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Sementara rakannya, Mohamad Aiman Ramli, 19, yang membonceng motosikal tersebut mengalami luka pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas.

"Setiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh wanita warga Thailand berusia 29 tahun dari arah yang sama dipercayai telah membuat pusingan U secara mengejut.

"Tindakan itu menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut," katanya.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan pembonceng dirujuk ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu pacuan empat roda direman bermula hari ini sehingga 6 Mac bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: