Pengarah, anak dibebaskan daripada reman

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Pengarah sebuah jabatan kerajaan di sini yang direman bagi membantu siasatan berhubung menggunakan jawatannya untuk membolehkan syarikat milik anaknya memperoleh tender bernilai RM45,472 dibebaskan hari ini.

Menurut jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengarah berumur 58 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.

Sementara itu, anak pengarah tersebut, seorang eksekutif di sebuah agensi kerajaan di negeri Perak yang turut ditahan reman selama enam hari bermula Rabu lalu juga dibebaskan dengan deposit jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Pada Selasa, pengarah itu direman selama enam hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menggunakan jawatannya bagi membolehkan syarikat milik anak lelakinya diberikan tender daripada jabatannya untuk satu projek sistem kelas tabika.

Anaknya berumur 27 tahun itu yang juga pemilik sebuah syarikat ditahan reman untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dengan bapanya dengan mencadangkan syarikat miliknya untuk diberikan tender berkenaan.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan: