Ahmad Faizal dipanggil menghadap Sultan Perak hari ini

Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita.
Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu masih belum bersedia untuk memberi penjelasan berhubung kedudukan pentadbiran kerajaan negeri itu walaupun diasak soalan pemberita mengenai isu berkenaan.

Ahmad Faizal hanya memaklumkan bahawa beliau telah dipanggil menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini bagaimanapun enggan memperincikan perkara yang akan dibincangkan.

"Sekarang saya dipanggil menghadap, mengenai apa..itu Wallahualam," katanya.

Ditanya pula sama ada pertemuan tersebut turut melibatkan semua Exco Kerajaan Negeri Perak, beliau berkata, pertemuan itu hanya melibatkan beliau seorang.

"Tidak hanya saya seorang," katanya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak itu berkata, pihaknya akan bertemu dengan pemberita bagi memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu kemudian.

"Nanti..nanti saya akan jumpa semua, maaf," katanya segera beredar menaiki kereta.

ARTIKEL BERKAITAN Ahli PKR Perak keluar parti 'berjemaah'

Terdahulu, beliau hadir ke Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya Kuala Kangsar yang dirasmikan oleh Sultan Nazrin.

Artikel Berkaitan:

Ketika berucap, dalam nada sebak beliau merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, pentadbiran di bawah Dr Mahathir telah banyak membantu Perak merealisasikan perancangan menjadikan Pulau Pangkor sebagai sebuah pulau bebas karbon dengan memperkenalkan kenderaan elektrik secara berperingkat-peringkat.

Ahmad Faizal hadir pada Sambutan Hari Lanskap Negara Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya Kuala Kangsar
Ahmad Faizal hadir pada Sambutan Hari Lanskap Negara Peringkat Negeri Perak di Laman Budaya Kuala Kangsar

"Buat permulaan, Kerajaan Duli Tuanku telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi menukar kesemua teksi merah jambu di pulau berkenaan dengan van berkuasa elektrik.

"Perkara ini dapat dilaksanakan melalui bantuan peruntukan khas yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Disember lalu," katanya.

Beliau turut berazam untuk meneruskan setiap usaha dan perjuangan Dr Mahathir dalam membina nusa dengan menitikberatkan soal integriti dan menolak kemungkaran.

"Bagi pihak Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, patik ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ayahanda Tun yang tercinta, di atas segala kebaikan, jasa dan bakti yang dicurahkan kepada nusa dan bangsa," katanya.

Keberangkatan Sultan Nazrin diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.