Pahang perlu segera selesaikan masalah tanah pekebun Cameron Highlands

Sim Tze Tzin
Sim Tze Tzin
A
A
A

TANAH RATA - Kerajaan Pahang digesa menyelesaikan segera kemelut pemilikan tanah yang dihadapi sebahagian besar pekebun sayur di Cameron Highlands yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata kira-kira 80 peratus daripada lebih 2,000 pekebun mengusahakan pertanian di atas tanah berstatus tanah pendudukan sementara (TOL) yang memerlukan mereka memohon pembaharuan lesen setiap tahun.

"Nasib petani ini tidak boleh diduga, mereka tidak tahu sama ada lesen TOL akan diperbaharui atau tidak. Jadi kekangan sebegini membantutkan kemajuan pertanian sama ada untuk melabur membeli peralatan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti mahupun mengakibatkan penghijrahan golongan muda ke bandar besar bagi peluang pekerjaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sehubungan itu, Sim mendesak kerajaan negeri Pahang tampil menjawab isu tersebut selain menimbang kaedah lain termasuk memanjangkan tempoh pajakan tanah.

“Kita sudah bawa isu ini banyak kali namun tiada hasil setakat ini," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Pekebun Sayuran Cameron Highlands Chay Ee Mong berkata pihaknya telah menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri Pahang pada 11 Januari lalu meminta kerajaan negeri menyelesaikan masalah tersebut .

“Diharap tanah TOL dapat diberikan pajakan 30 tahun mengikut keperluan pemilik supaya tanah boleh dicagar untuk pinjaman,” katanya menambah caj penggunaan air untuk pertanian juga telah meningkat dan membebankan para petani.- Bernama

Artikel Berkaitan: