Ratifikasi ICERD: Kerajaan PH jangan terburu-buru

Mohd Khairulnizam
A
A

SABAK BERNAM - Pertubuhan Suara Rakyat Prihatin Sabak Bernam (Perhati) berharap kerajaan PH tidak terburu-buru dalam memenuhi tuntutan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Pengerusinya, Mohd Khairulnizam Mohamad Samsuri berkata, kerajaan perlu memperhalusi dengan teliti terlebih dahulu kesan baik dan buruk penerimaan tuntutan tersebut pada masa depan negara.

"Tuntutan ini tentunya mengubah landskap sosial sedia ada dan menjejaskan perpaduan yang telah dibina sekian lama.

"Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana dibina dengan komposisi masyarakat berbilang bangsa yang mempunyai pelbagai budaya serta anutan agama yang berbeza," katanya.

Mohd Khairulnizam berkata, persetujuan menerima perjanjian kontrak sosial membolehkan golongan berhijrah kekal menjadi warganegara.

"Kontrak sosial tidak boleh di anggap sebahagian daripada bentuk diskriminasi kaum sebaliknya ia adalah suatu jaminan bagi menjaga hak orang Melayu dan Bumiputera yang sanggup berkongsi tanah air," katanya.

Bagaimanapun tegas beliau, diskriminasi kaum wujud apabila ahli politik atau pemimpin suatu kaum dan masyarakat yang dipilih tidak amanah, menyeleweng dan mengamalkan rasuah.

"Sehingga segala peruntukan dan kemudahan yang disediakan kerajaan melalui mereka tidak sampai kepada kaum serta masyarakat mereka sendiri.

"Ini terbukti melalui pelbagai pendedahan kes rasuah dan pecah amanah yang berlaku sebelum ini," katanya.

Justeru tegas beliau, Perhati berasa tidak wajar isu ICERD terus dipolemik serta dipolitikkan sehingga mengelirukan rakyat demi memenuhi agenda pihak tertentu sehingga mampu mewujudkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian antara kaum.

"Soal ratafikasi ICERD perlu dibincangkan dengan cara yang matang dan berbekalkan fakta yang tepat dengan menjaga asas-asas perpaduan yang telah lama dibina," katanya.

Tegasnya, Perhati percaya kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan meratifikasi ICERD tanpa membuat kajian mendalam dan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak termasuk pandangan rakyat terlebih dahulu.

"Gabungan politik PH yang menerajui kerajaan hari ini dibentuk dan diikat dengan konsensus bersama untuk terus mempertahankan Akta 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Keterbukaan kerajaan dalam membangkitkan isu ICERD untuk dibincangkan hanyalah sebagai memenuhi tanggungjawab meneruskan urusan kerajaan terdahulu.

"Kerajaan terdahulu mengkaji dan membentangkan tentang kemungkinan meretafikasikan ICERD di Malaysia melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Teknikal pada pertengahan Julai tahun 2010," katanya.