Turki buka pintu sempadan, Greece terima padah

Dianggarkan 30,000 migran berkumpul di pusat pemeriksaan selepas Erdogan membuka pintu sempadan untuk membenarkan kira-kira empat juta pemohon suaka meninggalkan Turki. - Foto Agensi
Dianggarkan 30,000 migran berkumpul di pusat pemeriksaan selepas Erdogan membuka pintu sempadan untuk membenarkan kira-kira empat juta pemohon suaka meninggalkan Turki. - Foto Agensi
A
A
A

ATHENS - Gara-gara tindakan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan membuka pintu sempadan untuk membenarkan kira-kira empat juta pemohon suaka meninggalkan negara itu, puluhan ribu pelarian nekad melarikan diri untuk memasuki blok Eropah selepas krisis tersebut pertama kali tercetus pada 2015.

Dianggarkan 30,000 migran berkumpul di pusat pemeriksaan sejak Sabtu lalu selepas langkah dibuat Erdogan yang sebenarnya bertujuan untuk memberi tekanan kepada Kesatuan Eropan (EU) berhubung konflik di Syria yang yang meragut 36 nyawa tentera Ankara pada minggu lalu.

Kehadiran golongan itu bagaimanapun tidak dialu-alukan Greece yang menjadi laluan masuk utama pelarian ke blok terbabit.

Polis Greece bertindak segera menutup lintasan sempadan dan melepaskan gas pemedih mata untuk menghalang kumpulan besar migran yang cuba memasuki negara tersebut.

Segelintir daripada mereka termasuk wanita hamil dan kanak-kanak sanggup meredah perjalanan berbahaya demi untuk memasuki Eropah.

Pertempuran tercetus dengan pihak berkuasa Greece selepas beberapa migran bertindak membaling batu ke arah anggota keselamatan. - Foto Agensi
Pertempuran tercetus dengan pihak berkuasa Greece selepas beberapa migran bertindak membaling batu ke arah anggota keselamatan. - Foto Agensi

Susulan insiden itu, PBB menggesa supaya semua pihak bertenang dan mengelakkan penggunaan sebarang bentuk kekerasan selepas ribuan migran kini membanjiri dan tidak berganjak dari sempadan Turki-Greece.

“Langkah segera perlu diambil untuk mengurangkan ketegangan di sempadan,” kata jurucakap PBB bagi Pelarian (UNHCR), Babar Baloch.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kakitangan agensi antarabangsa itu di wilayah Izmie, Canakkale dan Edirne sedang memantau pergerakan kumpulan tersebut, menilai situasi dan menyediakan bantuan kemanusiaan yang diperlukan.

Operasi dengan kerjasama Palang Merah Turki, Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dan Tabung Kanak-kanak Antarabangsa (UNICEF) juga cuba memberitahu golongan itu tentang risiko yang akan dihadapi mereka jika cuba merentasi sempadan melalui laut atau jalan darat secara tidak sah.

“Pemohon suaka perlu menghormati undang-undang dan mengelakkan situasi yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan di sempadan,” ujar Baloch lagi.

Kebanyakan pelarian termasuk keluarga bersama anak kecil yang berkumpul di sempadan tersebut adalah warga Afghanistan, Syria dan Iraq.

Kumpulan besar migran berkumpul di kawasan Pazarkule, Edirne di sempadan Turki-Greece.
Kumpulan besar migran berkumpul di kawasan Pazarkule, Edirne di sempadan Turki-Greece.

Kelmarin, Greece memaklumkan ia telah menyekat kemasukan hampir 10,000 migran di sempadan selepas pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan pelarian yang bertindak membaling batu ke arah mereka.

Timbalan Menteri Pertahanan Greece, Alkiviadis Stefanis menegaskan negara itu tidak akan mengalah.

“Kami melindungi sempadan Athens dan Eropah dengan tegas,” katanya menerusi wawancara bersama Skai TV sambil menjelaskan pelarian yang berjaya dihalang telah dihantar ke Evros, sebuah kawasan di sempadan Turki.

Kebanyakan pelarian melihat langkah Turki membuka pintu sempadan sebagai harapan baharu buat mereka hingga menyebabkan ada yang sanggup berenang menyeberangi sungai di Kastanies tanpa memikirkan keselamatan diri masing-masing.

Walaupun Greece meningkatkan usaha untuk menghalang kemasukan golongan itu, beberapa bot yang sarat membawa ratusan migran dilaporkan berjaya tiba di Pulau Lesbos. - Agensi

Info:

- Turki menjadi tuan rumah kepada kira-kira 3.7 juta pelarian Syria dan migran dari negara bergolak lain.

- Pada Mac 2016, EU-Turki mencapai perjanjian untuk mengawal kemasukan pelarian dari Ankara ke Greece selepas krisis migran memuncak pada 2015. Pada Disember 2019, Erdogan menegaskan Turki tidak lagi dapat menampung jumlah pelarian jika konflik di Syria gagal dikawal.

- Kira-kira 82,000 migran didakwa cuba merentasi dari Turki ke Greece dan Bulgaria pada tahun lalu yang merupakan jumlah tertinggi sejak perjanjian 2016 dimeterai.

- Kira-kira 14,000 dikesan cuba memasuki Eropah melalui Balkan Barat yang menyaksikan angka meningkat dua kali ganda berbanding 2018.

- Pelarian dari Afghanistan dan Syria menyumbang lebih separuh daripada jumlah pendatang berdaftar di kedua-dua laluan tersebut pada tahun lalu.