Agong selamatkan keadaan, Tun M buat masalah lagi

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

PADA 28 Februari lalu, lebih kurang jam 11 pagi saya menyiapkan rencana saya bertajuk Melayu Tertipu Lagi dengan membuat beberapa kesimpulan antaranya:

Orang yang menggagalkan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ialah Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam peristiwa ini, Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sama-sama tidak boleh dipercayai. Diharapkan peristiwa ini akan menyingkirkan kedua-dua mereka daripada arena politik negara.

Kedua, UMNO, Pas dan Parti Bersatu (termasuk kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) hendaklah bersatu teguh. Saya percaya, jika perikatan mereka kuat, parti-parti di Sabah dan Sarawak, MCA dan MIC akan menyertai mereka yang berkemungkinan membolehkan mereka menubuhkan kerajaan baharu. Tetapi, ia hanya boleh dilakukan tanpa Dr Mahathir dalam Bersatu kerana beliau tidak boleh menerima UMNO sebagai satu parti.

Pada masa itu, belum nampak penyelesaian krisis itu. Terdapat tiga kumpulan iaitu kumpulan Dr Mahathir, Anwar dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disokong kuat oleh UMNO dan Pas masing-masing tidak mempunyai majoriti.

Dalam masa 24 jam sehingga petang 29 Februari lalu, kita dengar berbagai-bagai perkembangan. Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri; Anwar dan pemimpin DAP dengan angkuh mengatakan we have the numbers.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) sekejap diberitakan menyokong Dr Mahathir, sekejap menyokong Anwar dan sekejap menyokong Muhyiddin. Anwar sekejap menyokong Dr Mahathir, sekejap menawarkan dirinya sebagai calon dan berlagak seperti sudah pasti akan dilantik.

Dr Mahathir yang enggan menerima kekalahan, bermodalkan sokongan GPS dan Warisan membuat perkiraan dengan PKR, DAP dan Amanah untuk ditonjolkan semula sebagai calon PH yang bererti kerajaan PH yang ditamatkannya dengan peletakan jawatannya hendak dihidupkan semula dan Anwar sanggup mengundur diri daripada menjadi calon Perdana Menteri demi menyelamatkan kerajaan PH.

Perkembangan yang terakhir disebut itu menunjukkan sejauh mana Anwar dan Lim Kit Siang sangup berkompromi menyelamatkan kerajaan PH kerana mereka tahu, jika mereka terlepas kuasa, mereka akan berada di kedudukan yang merugikan.

Artikel Berkaitan:

Akhirnya, pada petang 29 Februari lalu, terbitlah kenyataan Istana Negara yang dengan rasminya mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Kita berhenti di sini dahulu untuk membuat beberapa pemerhatian.

Krisis

Dengan keluarnya kenyataan itu, tamatlah krisis seminggu itu.

Dengan terlantiknya Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir dan Anwar tersingkir daripada perebutan untuk menjadi Perdana Menteri. Mereka akan terus menimbulkan masalah. Itu keistimewaan dan kepakaran mereka berdua. Diharapkan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sudah muak dengan tindak tanduk mereka dan mengetepikan mereka untuk selama-lamanya.

Orang Melayu berasa lega kerana tidak lagi akan melihat karenah Lim Guan Eng, Mujahid, Waytha Moorhy, Teresa Kok, Syed Saddiq, Mat Sabu dan lain-lain.

Peletakan jawatan Tommy Thomas memberi nafas lega kepada lebih seribu pegawai perundangan. Ada yang telah memberi perkhidmatan lebih daripada 30 tahun, menjadi pakar dalam bidang masing-masing tetapi tidak diberi kepercayaan terhadap kepakaran mereka oleh Tommy Thomas. Sebaliknya, beliau melantik peguam-peguam swasta dan dibayar upah dengan wang pembayar cukai. Diharapkan seorang pegawai daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang kanan, berintegriti, berpengalaman dan berkaliber akan dilantik menggantikan beliau.

Demikian juga diharapkan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kanan, berintegriti, berpengalaman dan berkaliber akan dilantik mengganti Latheefa Koya.

Tetapi, sebaik sahaja kenyataan Istana Negara itu diterbitkan, pemimpin-pemimpin PH, diketuai Dr Mahathir bersama-sama Anwar menolak keputusan yang dibuat oleh Agong itu. Itu tidak menghairankan. Mereka akan merayu dengan lemah longlai untuk mendapat pengampunan. Mereka terima pengampunan walaupun cara dilakukannya menyalahi prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Tetapi apabila Seri Paduka Baginda membuat satu keputusan yang tidak menyebelahi mereka, Agong pun mereka tentang. Ini menunjukkan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk mencapai matlamat mereka. Mereka tidak mempunyai had dan batasan.

Perkara 40 (2), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut iaitu: Melantik seorang Perdana Menteri.”

Perlembagaan tidak menetapkan bagaimana baginda hendak melaksanakan budi bicara itu. Tetapi, adalah patut baginda melantik seorang ahli Parlimen yang mengikut hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen. Jika tidak, undi tidak percaya mungkin akan dibuat dan jika berjaya, Perdana Menteri itu hendaklah meletak jawatan dan masalah berulang semula.

Dalam kata-kata lain, Agong tidak dikehendaki menemu duga setiap ahli Parlimen, apatah lagi mengambil kira senarai yang dibuat oleh Dr Mahathir untuk membuat keputusan itu.

Sekarang, keputusan telah dibuat, Perdana Menteri telah dilantik. Tak usahlah mempedulikan apa kata Dr Mahathir mahupun senarainya. Jika beliau dan PH tidak berpuas hati, mereka bolehlah mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen. Itu caranya, bukan mencabar budi bicara Agong.

Bagaimana kedudukan Dr Mahathir dan ahli-ahli Parlimen dalam senarai beliau yang tidak menyokong Muhyiddin dalam Bersatu? Saya ulangi apa yang saya katakan dalam rencana saya Melayu Tertipu Lagi jika mereka tidak mengikut pendirian parti, singkirkan mereka.

Disingkirkan

Saya teruja melihat pemimpin-pemimpin UMNO, Pas dan Bersatu bersama-sama ke Istana Negara untuk menubuhkan kerajaan baharu. Diharapkan ia berkekalan. GPS dan Warisan eloklah berfikir semula dan tidak lagi mengikut Dr Mahathir. Sudah tiba masanya beliau ditinggalkan atau disingkirkan.

Beliau telah terlalu banyak membuat masalah sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri seperti menyebabkan krisis Perlembagaan dengan raja-raja sebanyak dua kali; menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas; menyebabkan UMNO dibatalkan; bergaduh dengan Tun Musa Hitam; bergaduh dengan Anwar; bergaduh dengan Tun Abdullah Badawi; bergaduh dengan Datuk Seri Najib Razak; menyerahkan kuasa politik orang Melayu kepada DAP; menyebabkan krisis Perlembagaan lagi sekarang; mencabar Agong; masuk keluar UMNO entah berapa kali.

Nampaknya selagi beliau ada dalam arena politik, beliau tidak berhenti-henti menimbulkan masalah. Cukuplah.

Kita mulakan hari baharu tanpa Dr Mahathir, Anwar dan Lim Kit Siang.

* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara