Mestecc nafi kebakaran kilang sebabkan pencemaran alam sekitar

Laporan Sinar Harian berkaitan kejadian kebakaran membabitkan kilang kitar semula semalam.
Laporan Sinar Harian berkaitan kejadian kebakaran membabitkan kilang kitar semula semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Insiden kebakaran sebuah kilang kitar semula di Pasir Gudang di sini awal pagi semalam tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar di kawasan berdekatan.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) dalam satu kenyataan hari ini menyebut, siasatan yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mendapati tiada kesan pencemaran terhadap sistem parit awam dan Sungai Selangkah yang terletak berhampiran kilang tersebut.

Menurut kenyataan itu, kualiti udara sekitar lokasi kilang tersebut, yang terletak hanya sekilometer dari kawasan sekolah dan penempatan awam, juga didapati tidak terjejas.

“Pemantauan lanjut kualiti udara di sekitar kawasan kejadian juga adalah tidak terjejas berdasarkan bacaan Total Volatile Organic Compound (TVOC) yang sangat rendah daripada tiga stesen pengawasan automatik udara berhampiran yang terdapat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, SMK Tanjung Puteri dan sekitar Pelabuhan Johor,” katanya.

Terdahulu, sebuah kilang kitar semula plastik, kertas dan besi di Jalan Keluli, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang terbakar pada jam 5.37 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Kilang kitar semula di Pasir Gudang terbakar

Kebakaran berjaya dipadamkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri pada 12.30 tengah hari dan insiden itu dipercayai berpunca daripada stor barang-barang lusuh.

Sebelum ini, MESTECC melalui JAS telah memasang sejumlah 25 stesen Pengesan Pengionan Foto (PID) di sekitar kawasan Pasir Gudang serta menempatkan dua unit makmal bergerak iaitu Kromatografi Gas-Spektrometri Jisim (GCMS) dan Kromatografi Gas-Pengesan Pengionan Nyala (GCFID) yang telah beroperasi pada awal tahun ini.

Pasir Gudang menjadi bandar industri pertama dilengkapi sistem pengawasan yang akan memantau kualiti udara secara masa nyata untuk memberi amaran awal sekiranya berlaku sebarang insiden pencemaran.- Bernama

Artikel Berkaitan: