Simpan dadah dalam almari baju

Noor Azam (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas polis pada sidang media di IPK Selangor. - Foto Facebook Polis Selangor
Noor Azam (dua kiri) menunjukkan dadah yang dirampas polis pada sidang media di IPK Selangor. - Foto Facebook Polis Selangor
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah diberkas di sebuah apartmen di Taman Muda, Ampang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, wanita tempatan berusia 32 tahun itu ditahan dalam operasi pada 11 pagi.

“Kita merampas dadah disyaki methamphetamine dengan anggaran berat satu kilogram dalam almari pakaian di bilik pertama.

“Dadah disyaki ganja anggaran berat 149.9 kilogram turut dijumpai di dalam almari pakaian di bilik kedua, kesemua dadah yang dirampas bernilai RM514,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Noor Azam berkata, wanita itu yang juga seorang penganggur turut memiliki dua rekod jenayah berhubung kes dadah.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif methamphetamine,” katanya.

Noor Azam berkata, susulan tangkapan itu, polis menangkap dua lelaki tempatan iaitu rakan jenayah wanita terbabit di sebuah rumah di Batu Caves, Gombak pada jam 5.30 petang hari sama.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui sejumlah dadah disyaki ganja anggaran berat 666 gram bernilai RM2,000 di atas meja di ruang tamu rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ujian saringan urin ke atas kedua-dua suspek berusia 53 dan 49 tahun itu turut positif dadah.

"Siasatan lanjut mendapati, mereka tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata, sindiket ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui di mana suspek mendapat bekalan dadah terbabit.

"Kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Akta Jenayah selama tujuh hari bermula 29 Februari sehingga 6 Mac depan bagi siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.