X

Kindly register in order to view this article
!

Hina mahkamah: Bekas pegawai pengurus PRK Rantau dibenar rayu

Amino Agos diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk merayu sebahagian keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan prosiding menghina mahkamah dihadapinya dibicarakan semula di hadapan hakim Mahkamah Tinggi sama.
A
A

PUTRAJAYA - Bekas pegawai pengurus pilihan raya kawasan Rantau, Amino Agos Suyub diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan untuk merayu sebahagian keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan prosiding menghina mahkamah dihadapinya dibicarakan semula di hadapan hakim Mahkamah Tinggi sama.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan Amino Agos untuk merayu dan memberikannya (Amino Agos) 14 hari untuk memfailkan dan menyerahkan notis rayuan.

Dua soalan perundangan dikemukakan untuk ditentukan Mahkamah Persekutuan iaitu sama ada perintah perbicaraan semula diputuskan mahkamah rayuan, sebahagian atau sepenuhnya, bagi prosiding menghina mahkamah di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang sama, yang mensabitkan individu menghadapi pertuduhan menghina mahkamah dan menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya, telah menafikan hak perlembagaan individu itu untuk mendapat perbicaraan adil.

Satu lagi soalan adalah sama ada perintah perbicaraan semula diputuskan mahkamah rayuan, sebahagian atau sepenuhnya, prosiding menghina mahkamah didengar secara suo moto oleh hakim Mahkamah Tinggi mengikut Perintah 52 aturan 2A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 adalah betul apabila sabitan dan hukuman diketepikan atau diubah atas alasan kepincangan prosedur yang serius dan penafian hak di sisi perlembagaan untuk mendapat perbicaraan adil.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Amino Agos dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada Oktober 2018 selepas didapati bersalah mengajar seorang saksi untuk memberi keterangan semasa perbicaraan petisyen pilihan raya difailkan calon PKR, Dr S Streram.

Pegawai Daerah Rembau itu menjalankan tugas sebagai pegawai pengurus pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Rantau semasa Pilihan Raya Umum pada 9 Mei 2018.

Pada 17 Mei, tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer merujuk kembali prosiding menghina mahkamah itu untuk dibicarakan semula di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang sama, Datuk Azimah Omar.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi juga diberi kebebasan untuk mendengar prosiding menghina mahkamah itu sepenuhnya atau sebahagian.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengekalkan kerusi DUN Rantau dalam Pilihan Raya Kecil pada 13 April tahun lalu dengan mengalahkan tiga pencabarnya termasuk Dr Streram.

Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu pemberita, beliau dan peguam Sreekant Pillai memfailkan permohonan untuk menarik diri daripada mewakili Dr Streram dan mahkamah membenarkan permohonan mereka.

Peguam G Rajasingam, Sathya Kumardas dan Sharon Jessy mewakili Amino Agos manakala peguam Amin Othman mewakili Mohamad Hasan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!