'Semua pihak perlu muhasabah penyebab PH runtuh'

Amirudin bergambar bersama penyokongnya ketika makan malam selepas majlis doa selamat dan solat hajat kesejahteraan negeri Selangor di kediaman rasmi beliau di Seksyen 7 malam tadi.
Amirudin bergambar bersama penyokongnya ketika makan malam selepas majlis doa selamat dan solat hajat kesejahteraan negeri Selangor di kediaman rasmi beliau di Seksyen 7 malam tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak perlu bermuhasabah atas apa yang berlaku sehingga mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ada pihak merasakan kemenangan yang dikecapi sebelum ini 'dirompak' dan dirampas, namun sebenarnya apa yang perlu dilakukan sekarang adalah bermuhasabah apa yang sebenarnya menyebabkan berlaku keruntuhan tersebut.

"Tadi ada tazkirah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Meru, Fakhrul Razi yang mengatakan kadangkala musibah dan dugaan yang berlaku ada kebaikan kepada kita kalau tak diberi, tak dicuba dan tak ditimpa.

"Kadangkala kita rasa selesa, kita rasa dah betul semua, ada masanya kadang-kadang kita perlu bermuhasabah mengenai apa masalah besar kita," katanya ketika berucap pada makan malam selepas majlis doa selamat dan solat hajat kesejahteraan negeri Selangor di kediaman rasmi Amirudin di Seksyen 7 di sini semalam.

Katanya, PH mempunyai perjuangan jauh lebih besar selepas ini.

"Rakyat dah bagi Selangor satu majoriti besar. Rakyat bagi kita peluang di Putrajaya, kita telah terhukum dan tersakiti kerana kesilapan-kesilapan yang patut kita akui dan perlu untuk kita perbetulkan.

"Jadi kalau kita tidak belajar daripada kesilapan itu, dok nak salahkan orang sana dan orang sini tak sudah-sudah nak label.

Bagi mereka yang telah ambil keputusan untuk keluar ataupun terkeluar, jelas terlibat dalam memusnahkan kerajaan, parti dah ambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walau apa pun yang berlaku, beliau tetap setia dengan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR)

"Saya memilih untuk setia dengan PKR. Prinsip yang jelas, keyakinan kita kepada asas perjuangan. Parti ini berdiri di atas prinsip dan nilai keadilan, bukan atas individu atau mana-mana pihak, tetapi atas prinsip dan keadilan yang terdapat di atas perlembagaan parti.

"Mereka kawan, kawan silaturahim kita jaga. Dia bagi salam kita jawab salam, tetapi parti kita berbeza dan perjuangan kita berbeza," katanya.

Terdahulu, lebih 500 orang hadir pada majlis solat hajat dan doa selamat di kediaman rasmi Amirudin di Seksyen 7 di sini semalam.