Khazanah Nasional teruskan kerjasama dengan MAB

Khazanah
Khazanah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Bhd hari ini berkata, ia akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan Malaysia Airlines (MAB) bagi mengkaji semula cadangan dan memuktamadkan keputusan mengenai pilihan rakan kongsi strategik MAB paling sesuai.

Dana pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu telah melancarkan proses untuk menilai rakan kongsi berpotensi bagi syarikat penerbangan negara tersebut pada 2019.

“Sejumlah sembilan cadangan telah diterima, yang mana empat telah disenarai pendek,” menurut Khazanah dalam kenyataan hari ini.

Khazanah juga telah memberi pertimbangan sewajarnya kepada pilihan yang tersedia padanya untuk menyelesaikan isu-isu utama dihadapi MAB.

Selain itu, Khazanah juga berkata ia berjaya mencapai penyelesaian berkaitan penstrukturan semula tol PLUS.

Penyelesaian itu sekali gus membawa pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi lebuh raya PLUS serta menawarkan penjimatan kepada kerajaan berjumlah RM42 bilion untuk tempoh konsesi baharu yang berakhir pada 2058, menurutnya.

Ia pada masa sama menyaksikan Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja kekal sebagai pemegang saham PLUS.

“Penstrukturan semula ini kini berada di peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi meminda perjanjian sedia ada,” menurut Khazanah.-Bernama

Artikel Berkaitan: