Buruh binaan warga Bangladesh parah jatuh bangunan

Ismail
Ismail
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang buruh binaan warga Bangladesh cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah rumah pangsa yang masih dalam pembinaan di Ulu Tiram di sini Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, mangsa yang tidak dikenal pasti identiti itu dijumpai di aras bawah dalam keadaan cedera parah dipercayai terjatuh ketika sedang membuang sampah dari tepian terbuka ke aras bawah bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6 petang Jumaat lalu.

"Kami mengesahkan menerima laporan yang dibuat majikan mangsa menyatakan seorang pekerjanya warga Bangladesh telah terjatuh dari tingkat tiga bangunan di tapak projek PPR UluTiram.

"Mangsa yang cedera parah itu dikatakan terjatuh ketika sedang membuat kerja-kerja pembersihan dan dihantar ke Hospital Sutan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor dalam kenyataan memaklumkan lima notis larangan telah dikeluarkan kepada majikan yang terlibat.

"Notis dikeluarkan atas kegagalan memastikan keselamatan pekerja bagi kerja-kerja pembuangan sampah di aras tinggi, mengadakan pengadang bagi tepian terbuka, memastikan keselamatan bagi pembinaan perancah di kawasan kerja, memastikan keselamatan bagi pendawaian elektrik di tempat kerja dan kegagalan mengadakan keselamatan bagi pembinaan perancah di kawasan rumah pam.

"Selain itu, dua notis perbaikan juga dikeluarkan selain tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: