X

Kindly register in order to view this article
!

Haram hadiri kenduri kahwin yang tidak dijemput

HARAM untuk kita hadiri majlis perkahwinan atau walimah yang tidak dijemput oleh tuan rumah atau wakilnya. -Gambar hiasan
A
A

"JOM kita pergi kenduri kahwin Humairah. Aku tak ada kawanlah nak datang. Kau temankan aku ye."

Demikian kata Faizah Halim (bukan nama sebenar) kepada rakannya, Mariam Arif (bukan nama sebenar).

Pun demikian, Mariam sebenarnya rasa serba salah untuk mengikuti Faizah kerana dia tidak dijemput menghadiri walimah tersebut.

Humairah hanya menjemput Faizah untuk memeriahkan majlis perkahwinannya dengan jejaka pilihannya.

"Takkan aku nak pergi juga walimah tu dan makan. Malulah, sudahlah tuan rumah tak jemput, aku pula datang makan," Mariam bermonolog dalam hati, pada masa sama menyusun ayat terbaik untuk menolak ajakan Faizah tadi.

Barangkali anda pernah menghadapi situasi itu, bukan? Apakah tindakan yang patut dilakukan jika kita berdepan dengan situasi berkenaan?

Apakah hukumnya apabila kita tetap hadiri majlis kenduri kahwin berkenaan dan makan jamuan disediakan walaupun tidak dijemput?

Sebelum menjawab persoalan itu, perlu difahami bahawa hukum asal menghadiri majlis perkahwinan jika dijemput secara khusus adalah wajib.

KEPADA mereka yang dijemput menghadiri walimah, wajib untuk memenuhi undangan berkenaan.
KEPADA mereka yang dijemput menghadiri walimah, wajib untuk memenuhi undangan berkenaan.

Ia berdasarkan pandangan majoriti ulama dalam Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali berdalilkan sebuah hadis daripada Ibn Umar RA.

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia." (Sahih Muslim)

Bagaimanapun, jika kita tidak dijemput tuan rumah atau wakilnya, para ulama daripada empat mazhab iaitu Maliki, Hanafi, Syafie dan Hanbali sepakat menyatakan haram untuk menghadirinya.

Ia termasuklah jika kita hadir tanpa diketahui sama ada tuan rumah reda ataupun tidak.

Individu berkenaan juga boleh dihukumkan sebagai fasik dari sudut penyaksian dan menjatuhkan maruah jika terus-menerus melakukan perbuatan tersebut.

Ini kerana ia sebenarnya termasuk kategori perbuatan memakan makanan yang haram berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA:"Sesiapa yang dijemput tapi tidak memenuhi jemputannya, dia telah ingkar kepada ALLAH dan Rasul-NYA; dan siapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri." (Sunan Abi Dawud)

Namun demikian, seandainya tuan rumah memberi keizinan walaupun pada awalnya dia tidak dijemput, maka hukumnya adalah harus.

Apa pun, ingatlah bahawa para ulama mengharamkan seseorang hadir ke kenduri tanpa dijemput jika diyakini tuan rumah tidak reda.

Adapun, jika kita yakin tuan rumah reda dengan kehadiran kita, contohnya kita merupakan rakan atau saudara dan tiada permusuhan, namun mereka terlupa untuk menjemput kita, maka dalam keadaan tersebut, ia tidak diharamkan.

(Sumber: Al-Kafi #1571: Hukum Hadir Walimah Tanpa Dijemput, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!