Kuala Lumpur rekod KDNK terpantas dalam negara

Pembangunan Kuala Lumpur akan menumpukan kesejahteraan warga kota.
Pembangunan Kuala Lumpur akan menumpukan kesejahteraan warga kota.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terpantas di negara ini dengan 7.1 peratus sepanjang tempoh dua tahun iaitu RM191. 6 bilion pada 2016 kepada RM219. 8 bilion 2018, melebihi paras nasional 5.2 peratus.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, KDNK terpantas itu disumbangkan menerusi sektor perkhidmatan yang juga sektor ekonomi utama Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur menyumbangkan 13.8 peratus KDNK pada tahun 2010 dan meningkat kepada 16.1 peratus pada 2018, sekali gus menjadi penyumbang ekonomi kedua terbesar dalam negara selepas Selangor.

"Peningkatan KDNK ini menunjukkan kepentingan Bandar Raya Kuala Lumpur dalam menerajui ekonomi negara. Sektor perkhidmatan diterajui sub-sektor perdagangan borong, runcit, makanan dan minuman serta penginapan," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, cabaran utama adalah memastikan prestasi ekonomi Kuala Lumpur kekal kukuh dan berdaya saing dengan trend global.

"Ekonomi dijana itu mampu mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan baharu kepada penduduk yang dapat dikongsi secara seimbang.

"Akses mudah kepada peluang pekerjaan dan perniagaan dapat mengurangkan jurang pendapatan serta memastikan penduduk mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi," katanya.

Katanya, Kuala Lumpur mencatatkan pertambahan jumlah pekerjaan sangat perlahan, namun terdapat penurunan dengan purata 1.74 peratus setahun tahun 2000 sehingga 2010 kepada 0.93 peratus setahun pada 2010 hingga 2017.

Artikel Berkaitan:

"Pada 2017, kadar penyertaan buruh di Kuala Lumpur adalah 96.9 peratus dengan kadar pengangguran 3.1 peratus iaitu kadar tinggi bagi sebuah bandar raya yang menerajui ekonomi negara.

"Harga rumah bagi Bandar Raya Kuala Lumpur yang mempunyai populasi penduduk kira-kira 1.7 juta pada tahun 2018 juga dalam kategori tidak mampu dimiliki iaitu mencatat nisbah 5.4," katanya.

Nor Hisham berkata, keadaan itu bertambah kritikal memandangkan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) lebih rendah daripada gaji pendapatan wajar.

"Selain itu, perlaksanaan pembangunan perbandaran di Kuala Lumpur terdedah kepada perubahan iklim dan cuaca melampau yang memberikan impak besar dari segi fizikal, sosial, ekonomi dan ekologi.

"Justeru Kuala Lumpur perlu lebih berdaya tahan terhadap impak perubahan iklim dengan langkah mitigasi dan adaptasi ditingkatkan dalam mencapai pembangunan lebih mampan," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya bandar raya itu akan mengutamakan prinsip pembangunan dan perancangan mampan bagi mentransformasi Kuala Lumpur sebagai Bandar Untuk Semua serta memastikan pertumbuhan berterusan selepas tahun 2020.

"Pembangunan akan menumpukan kesejahteraan warga kota, kualiti hidup, kesaksamaan, kemampuan serta sektor ekonomi yang terus berdaya saing," katanya mengulas mengenai Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL2040).

Katanya, visi Kuala Lumpur Bandar Untuk Semua akan tercapai dengan memfokuskan enam matlamat mencakupi aspek ekonomi, sosial, persekitaran hidup, alam sekitar dan perancangan fizikal.

"Visi dan matlamat pertumbuhan Kuala Lumpur akan disokong hala tuju strategik. Mekanisme khusus pelaksanaan PSKL2040 perlu disediakan untuk memastikan tindakan dan kawalan pembangunan di peringkat Pelan Tempatan," katanya.