'Tiada kelab lain sehebat kami'

Pemain City meraikan kejuaraan menjulang trofi Piala Liga selepas menewaskan Aston Villa awal pagi tadi.
Pemain City meraikan kejuaraan menjulang trofi Piala Liga selepas menewaskan Aston Villa awal pagi tadi.
A
A
A

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan tiada kelab lain di England sehebat pasukan kendaliannya selepas The Citizen menewaskan Aston Villa 2-1 pada aksi final Piala Liga di Stadium Wembley awal pagi tadi.

Menurutnya, kejayaan City dalam kejohanan domestik tidak mampu di tandingi kelab lain walaupun dibandingkan ketika zaman kegemilangan Liverpool sekitar tahun 1980 atau ketika Manchester United di bawah era Alex Ferguson dan Arsenal ketika dikendalikan Arsene Wenger.

"Sembilan kejohanan domestik terakhir yang kami sertai dan kami memenangi lapan kali.Itu hebat. Tiada kelab sebelum ini dalam sejarah kejohanan domestik memenangi jumlah gelaran berturut-turut seperti yang kami telah menangi.

"Termasuk ketika zaman kegemilangan Liverpool pada tahun 80-an, Manchester United ketika di bawah Alex Ferguson, atau Arsene Wenger (dengan Arsenal).

"Kelab-kelab tersebut sangat mengagumkan tetapi tidak dapat menang dalam lapan daripada sembilan kejohanan seperti yang kami lakukan," katanya.

Kejayaan terbaru City itu menyaksikan Guardiola telah memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA, tiga kali kejuaraan Piala Liga Inggeris dan dua trofi Perisai Komuniti sejak membimbing kelab itu pada 2016.

Kata Guardiola, satu-satunya kejuaraan yang terlepas daripada genggaman City adalah Piala FA yang gagal dimenangi pada 2018.

Malah, beliau mengandaikan lebih banyak trofi yang akan dimenangi The Citizen musim ini walaupun berkemungkinan besar gagal mempertahankan kejuaraan EPL.

Artikel Berkaitan:

"Untuk saingan EPL, Liverpool adalah sangat luar biasa. Mereka sangat sempurna musim ini. Tetapi, ia bukan bermaksud kami akan menyerah kalah dalam pemburuan piala lain.

"Kami telah membuktikan mentaliti kemenangan dalam pasukan dan saya yakin pasukan ini akan dapat mencipta lebih banyak kejuaraan.

"Pemain juga tahu perjalanan saingan musim ini masih panjang dan kami masih berpeluang meraih trofi Liga Juara-Juara dan Piala FA," katanya.