Buli di MRSM: Polis buka satu kertas siasatan

Laporan Sinar Harian mengenai kes buli pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang.
Laporan Sinar Harian mengenai kes buli pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Polis Pulau Pinang telah membuka satu kertas siasatan berhubung satu klip video memaparkan insiden buli di sebuah bilik dipercayai asrama yang tular di media sosial sejak pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Jay January Siowou berkata, siasatan akan dijalankan secara holistik dengan mengambil kira semua aspek.

Menurutnya, polis mengambil tindakan proaktif dengan mengesan lokasi institusi terlibat dan semua individu yang dilihat dalam video berkenaan untuk dirakam keterangan.

"Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek sebelum dirujuk kepada pihak pendakwa raya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes tersebut.

"Polis turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Hotline Polis SPS di talian 04-5858222, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (04-2221522) atau balai polis berdekatan," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, polis mengesan satu klip video berdurasi 1 minit 31 saat dimuat naik oleh akaun Facebook ‘Utara Kini’ dan telah meraih lebih 710,000 tontonan, 1,000 komen serta 445 perkongsian sehingga tengah hari Isnin.

Klip tersebut menunjukkan beberapa individu dipercayai pelajar, melakukan perbuatan seperti membuli ke atas seorang individu lain yang berada di atas katil.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis telah mengenalpasti semua pelajar yang terlibat dalam kes buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini.

Hasil siasatan awal, seramai tujuh pelajar terlibat dalam kes yang berlaku pada Jun tahun lalu.

Siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah bergurau dan ejek mengejek sesama sendiri.

Susulan daripada itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelajar yang disyaki pelaku buli di asrama MRSM itu sudah digantung persekolahan masing-masing.

Kata beliau, tindakan itu diambil bagi memastikan pelajar-pelajar terbabit tidak mengganggu proses siasatan, selain memberikan mesej jelas pihaknya tiada kompromi dalam isu buli.

Beliau menambah, tindakan tegas akan diambil sekiranya kejadian dalam rakaman video berkenaan adalah perbuatan buli yang memang berlaku di institusi pendidikan MARA itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!