Detik bersejarah Taliban dan AS

Khalilzad (kiri) dan Abdul Ghani bersalaman selepas menandatangani perjanjian damai tersebut di Doha kelmarin. - Foto AFP
Khalilzad (kiri) dan Abdul Ghani bersalaman selepas menandatangani perjanjian damai tersebut di Doha kelmarin. - Foto AFP
A
A
A

DOHA - Selepas hampir dua dekad konflik melanda Afghanistan, Amerika Syarikat (AS) dan Taliban akhirnya sepakat menandatangani perjanjian damai yang diharap dapat menamatkan peperangan paling lama di negara itu.

Perjanjian yang dimeterai di Doha, kelmarin bakal menyaksikan Washington dan pasukan asing akan menarik tentera masing-masing dari Kabul dalam tempoh 14 bulan dengan syarat Taliban bersedia menyertai dialog bersama pemerintah dan menentang kumpulan militan lain termasuk al-Qaeda.

“Semua orang sudah penat dengan peperangan. Ia berlarutan dalam tempoh sangat panjang. Kami mempunyai kejayaan sangat besar di Afghanistan dalam menghapuskan anggota militan.

“Kini, sudah tiba masanya membawa pulang pasukan tentera kami,” kata Presiden AS, Donald Trump yang turut menyambut baik perjanjian tersebut yang dicapai selepas rundingan bermula pada 2018.

Menurutnya, pasukan tentera AS akan mula meninggalkan Afghanistan dalam masa terdekat dan beliau juga akan bertemu dengan pemimpin Taliban tidak lama lagi.

Penyokong perjanjian itu yang dimeterai selepas lebih setahun rundingan berlangsung tegang, namun menyifatkan ia sebagai langkah penting untuk keamanan tetapi kebanyakan penduduk Afghanistan bimbang tindakan memanggil pulang pasukan tentera asing hanya akan menyaksikan Taliban kembali berkuasa.

Sejak beberapa bulan lalu, banyak pihak telah membuat spekulasi tentang usaha damai tersebut dan ia akhirnya direalisasikan oleh perunding Taliban, Mullah Baradar bersama Ketua Perunding dari Washington, Zalmay Khalilzad di Qatar.

Kedua-dua mereka kemudiannya saling berjabat tangan dan disusuli laungan ‘Allahuakbar’ oleh sekumpulan individu yang menyaksikan detik bersejarah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo bagaimanapun menyuarakan ketidakpastian beliau berhubung perjanjian tersebut.

“Kemenangan untuk penduduk Afghanistan hanya boleh dicapai apabila mereka dapat hidup dengan aman dan makmur,” tegasnya.

Di Kabul, sekumpulan kecil orang ramai berkumpul di beberapa kafe untuk melihat detik bersejarah itu, namun mereka hanya membisu dan tidak memberikan sebarang reaksi.

“Hari ini ialah hari yang gelap. Saya menyaksikan perjanjian damai ditandatangani. Saya dapat rasakan Taliban akan kembali berkuasa dan bukannya membawa keamanan,” kata aktivis, Zahra Hussaini, 28.

Banyak pihak mula mempersoalkan tentang kedudukan pemerintah yang dikecualikan daripada rundingan langsung antara Taliban dan AS tersebut.

Sehingga kini, Taliban enggan berunding dengan pemerintah yang disokong Barat dan turut menggelarnya sebagai ‘boneka rejim’.

Presiden Ashraf Ghani bagaimanapun mengalu-alukan perjanjian tersebut dan menyatakan penduduk Afghanistan mempunyai keinginan untuk mencapai keamanan kerana daya tahan masyarakat, dinamisme ekonomi dan keupayaan negara tersebut.

Baru-baru ini, Kabul kembali dilanda krisis politik selepas Abdullah Abdullah, pesaing utama Ghani menolak keputusan pilihan raya umum yang pada tahun lalu yang mengekalkan jawatannya untuk penggal kedua dan turut mengancam untuk menubuhkan pentadbiran saingan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah pertama untuk perdamaian yang kekal.

“Kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan. Tiada jalan mudah untuk keamanan dan ini adalah langkah pertama yang penting,” ujarnya di Kabul.

Difahamkan, Stoltenberg dan Trump berikrar pasukan tentera asing akan kembali ke Afghanistan jika terdapat keperluan untuk mereka berbuat demikian.

Pada September lalu, kedua-dua belah pihak pernah hampir menandatangani perjanjian damai itu, namun Trump membatalkan rundingan selepas seorang tentera AS terbunuh dalam serangan dilancarkan Taliban.

Presiden ke-45 AS itu telah menyatakan kesungguhan beliau untuk membawa pulang tentera AS kononnya bagi menamatkan peperangan paling lama di Afghanistan yang bakal menjadi ‘modal’ untuk meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Presiden pada 3 November ini. - AFP

Info

* Taliban mula bermaharajalela di Kabul pada 1996 dan turut melaksanakan undang-undang yang ekstrem termasuk melarang wanita bekerja, menutup sekolah kanak-kanak perempuan dan tidak membenarkan sebarang bentuk hiburan di negara itu.

* AS telah membelanjakan lebih AS$1 trilion (RM4.2 trilion) untuk memerangi Taliban dan membina semula Afghanistan sejak ia melancarkan operasi ke atas negara itu selepas serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001.

* Kira-kira 2,400 tentera AS terbunuh sepanjang operasi tersebut.

* Taliban menghentikan segala permusuhan pada 22 Februari yang merupakan gencatan senjata kedua dilaksanakan di seluruh negara dalam tempoh 19 tahun sejak peperangan tercetus.

* Langkah memeterai perjanjian itu akan disusuli dengan gencatan senjata separa selama tujuh hari untuk membina keyakinan antara pihak bertelagah dan menunjukkan Taliban boleh mengawal anggota mereka.

* Ketika ini, terdapat antara 12,000 dan 13,000 anggota tentera AS bersama kira-kira 17,000 anggota dari 39 negara asing dan anggota NATO di Afghanistan. Washington akan mengurangkan jumlah tersebut kepada 8,600 dalam tempoh 135 hari.

* Jika Taliban mematuhi syarat perjanjian, AS dan rakan kongsi mereka akan menarik kesemua pasukan tentera mereka dari Afghanistan dalam tempoh 14 bulan.

* Kedua-dua belah pihak juga bersetuju dengan pertukaran kira-kira 5,000 tahanan.

* Taliban memberi jaminan ia tidak akan lagi menggunakan gerakan militan seperti Al-Qaeda dan kumpulan Daesh untuk melancarkan serangan di luar negara yang menjadi kunci utama perjanjian tersebut.

* Sejak 2009, lebih 100,000 penduduk Afghanistan terbunuh atau cedera.