Harapan besar pada bahu Muhyiddin

Muka depan Sinar Harian hari ini.
Muka depan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

KEMELUT yang melanda politik negara berakhir semalam apabila Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan itu susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari sehingga mencetuskan krisis politik tanah air menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa dan perubahan gabungan parti-parti politik.

Keputusan itu dicapai selepas ketua-ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat bebas mengemukakan nama calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong. Siapa sangka, di sebalik pertarungan politik hebat dua dekad antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba-tiba Muhyiddin yang dilantik.

Menjadi tanggungjawab besar kepada Muhyiddin untuk meneruskan agenda pembangunan negara. Rakyat percaya Muhyiddin mampu melakukannya berdasarkan pengalaman panjang beliau dalam kerajaan sebelum ini.

Cabaran utama beliau ialah kemungkinan berhadapan undi tidak percaya daripada PH pada sidang Dewan Rakyat akan datang. PH mendakwa Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Kedua, apakah formula yang akan digunakan untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat yang mendakwa banyak janji manifesto gagal ditunaikan oleh kerajaan terdahulu. Ekonomi yang suram juga menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia terutama dengan kos yang semakin meningkat yang perlu ditangani dengan sebaiknya oleh kerajaan baharu di bawah pimpinannya.

Sudah tentu rakyat tidak sabar untuk mengetahui siapakah yang akan dilantik Muhyiddin dalam kerajaan baharu itu. Agak menarik untuk melihat perkongsian kuasa dalam Perikatan Nasional yang dianggotai Bersatu, UMNO, Pas dan gabungan parti Sabah dan Sarawak.

Sokongan perlu diberikan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu itu selepas krisis politik selama tujuh hari yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kestabilan politik. Selamat bertugas YAB Perdana Menteri!

Artikel Berkaitan: