Selangor, PJ City kena cari venue baharu

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

SELANGOR diberikan tempoh sehingga esok untuk menamakan gelanggang alternatif bagi mengharungi saingan Liga Super 2020 selepas Stadium Shah Alam disahkan tidak selamat untuk digunakan.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini berkata, stadium keramat skuad Gergasi Merah itu tidak boleh digunakan selepas hasil pemeriksaan ketiga pada Jumaat lalu, mendapati keadaan semasa bumbung masih tidak selamat bagi pengelolaan perlawanan liga.

Lebih memeritkan, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang sebelum ini dinamakan sebagai venue alternatif pasukan itu turut tidak dapat digunakan kerana kerja naik taraf sedang dijalankan di venue berkenaan.

Perkembangan itu menyaksikan pasukan Petaling Jaya (PJ) City FC yang menggunakan Stadium MBPJ sebagai gelanggang rasmi pasukan berkenaan turut terpaksa mencari venue lain.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada Kelab Bola Sepak PJ City dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) masing-masing pada Rabu dan Jumaat lalu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati keadaan semasa bumbung SSA tidak berada di tahap menyakinkan bermula pemeriksaan keselamatan pertama pada 10 Jan lalu disusuli pemeriksaan kedua (21 Februari) dan ketiga, Jumaat lalu.

“MFL memutuskan bahawa stadium itu tidak boleh digunakan sehingga proses baik pulih bumbung siap sepenuhnya berserta jaminan keselamatan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Darul Ehsan Facilitates Management Sdn Bhd (DEFM).

“Pemakluman secara drastik ini dibuat setelah mengambil kira aspek-aspek persiapan dan keselamatan pasukan pelawat, penyokong, penyiaran siaran langsung, media dan komersial,” katanya menerusi kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Selangor, yang muncul juara Piala Malaysia untuk rekod 33 kali, tujuh kali juara liga dan lima kali juarai Piala FA, memulakan musim ini dengan kemenangan 2-1 ke atas Pahang di Kuantan, malam tadi.

Skuad kendalian B Sathianathan itu pada asalnya dijadualkan untuk menerima kunjungan Perak di Stadium Shah Alam pada Sabtu depan.

Ab Ghani berkata, Stadium MBPJ pula tidak dapat digunakan kerana pemeriksaan pada Rabu lalu mendapati padang permainan tidak berada dalam keadaan bersedia selain bilik persalinan masih berada dalam proses naik taraf.

“Jadi, MFL memutuskan bahawa Stadium MBPJ tidak boleh diguna pakai bagi penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) sehingga kerja naik taraf itu selesai,” katanya dalam kenyataan berasingan.

PJ City dijadualkan menentang Pahang di Stadium MBPJ, Jumaat ini. - Bernama