Tengku Abdullah bangga roti canainya digemari Sultan Pahang

Sultan Abdullah turut mencuba memasak roti canai sambil disaksikam sendiri penebar roti di Restoran D'Wafi, Taman Mahkota Putra, di sini, hari ini.
Sultan Abdullah turut mencuba memasak roti canai sambil disaksikam sendiri penebar roti di Restoran D'Wafi, Taman Mahkota Putra, di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - “Segan sebenarnya untuk beritahu nama kami sama... nama saya pun Tengku Abdullah, tetapi hanya penebar roti yang rotinya dimakan Sultan Abdullah...” kata Tengku Abdullah Tengku Sulaiman, pemilik kedai makan yang sering dikunjungi Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah.

Tengku Abdullah, 46 menambah sikap ‘segan’ itu menyebabkan beliau tidak pernah memberitahu namanya kepada Sultan Abdullah walaupun baginda sering menegur setiap kali mencemar duli ke restoran itu selepas solat Subuh di masjid berhampiran.

Anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu berkata sejak mengusahakan restoran itu tiga tahun lepas, juadah yang sering menjadi pilihan Sultan Abdullah ialah nasi lemak dan roti canai garing kurang minyak berkuah dhal.

Mengimbas mengenai kunjungan pertama Sultan Abdullah ke restoran yang terletak di Indera Mahkota di sini, Tengku Abdullah mengakui beliau amat gemuruh apabila memikirkan Tengku Mahkota Pahang (semasa itu) berkenan mencemar duli ke situ.

“Pegawai istana telefon pada waktu pagi beritahu tuanku nak bersantap selepas solat Subuh... mula-mula memang terkejut.

“Perasaan paling kuat waktu itu sudah semestinya gementar. Risau orang istana hendak makan... takut jika masakan saya tak sedap untuk baginda.

“Kali pertama lihat tuanku bersantap terselit juga rasa bangga dan seronok, kerana seperti bermimpi” katanya semasa ditemui di restorannya di sini, hari ini.

Terdahulu, Sultan Abdullah yang akan dimasyhurkan sebagai Sultan keenam Pahang pada Selasa ini, berkenan bersantap bersama jemaah yang baharu menunaikan solat Subuh di Masjid Imam Ash-Shafie di Kota Sas di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, isteri Tengku Abdullah Rosnida Che Soh, 44, menyifatkan Sultan Abdullah sebagai anak raja yang tidak sombong dan lebih selesa tanpa protokol menjadikan ‘beliau tidak kekok mahu melayani tetamu VVIP’.

“Baginda juga sangat dermawan kerana jika bersantap di sini, bermaksud adalah rezeki pengunjung yang lain.

“Sultan Abdullah akan membayar harga makanan dan minuman semua pengunjung, termasuk mereka yang membeli bungkus untuk dibawa balik,” katanya.

Rosnida juga kagum dengan sikap sabar dan keterbukaan Sultan Abdullah dalam menyantuni pengunjung yang hendak merakamkan kenangan bersama baginda.

Mengambil satu contoh, Rosnida berkata beliau pernah melihat Sultan Abdullah keluar daripada kenderaan yang dinaiki apabila mengetahui ada rakyat yang hendak bergambar walaupun sudah bersiap hendak berangkat pulang.- Bernama