Di sebalik kilang keropok

Abdul Rahim (dua dari kanan) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek dalam serbuan di Kampung Sireh Sabtu lalu.
Abdul Rahim (dua dari kanan) menunjukkan dadah dan wang tunai yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek dalam serbuan di Kampung Sireh Sabtu lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Taktik tiga lelaki termasuk dua beranak dipercayai pengedar dadah berselindung di sebalik kilang keropok terbongkar melalui serbuan pihak polis di Kampung Sireh, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, serbuan pada jam 12.45 tengah malam oleh sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu itu turut menemui dadah bernilai RM259,900.

Beliau berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga suspek iaitu peniaga berusia 56 tahun, anak lelakinya berumur 32 tahun dan rakan berumur 25 tahun sedang berada di dalam sebuah bilik, di bahagian hadapan kilang milik isteri suspek berusia 56 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai kotak di atas sofa berisi anggaran berat kasar 5.2 kilogram dadah jenis syabu dan 1,750 pil ekstasi seberat 525 gram,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan seterusnya turut menjumpai wang tunai berjumlah RM74,900 dan turut menyita sebuah kereta jenis Mercedes Benz bernilai RM50,000 untuk tujuan siasatan lanjut.

Katanya, ketiga-tiga suspek dipercayai mendapatkan bekalan dari negara jiran dan aktif sejak sebulan lalu dengan menjalankan kegiatan pengedaran di sekitar Kota Bharu.

Kumpulan itu katanya, menjalankan kegiatan pengedaran dadah dalam bentuk satu bar (50 gram) syabu dengan harga RM1,300 dan ekstasi pula dijual dengan RM30 sebiji.

“Ujian urin ke atas kesemua suspek didapati negatif dadah dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau.

Artikel Berkaitan:

“Seorang daripada mereka ditahan reman antara 28 Februari hingga 4 Mac, manakala dua lagi disambung reman sehingga 9 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya.