Keseronokan berkelah terbantut, SUV disewa terbenam dalam laut

PORT DICKSON – [DIKEMAS KINI] Sekumpulan pelajar warga asing terpaksa melupakan keseronokan mereka untuk berkelah di tepi pantai selepas kenderaan utiliti sukan (SUB) jenis Proton X70 yang disewa terbenam di Pantai Cahaya Negeri di sini pada Khamis.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas tayar kenderaan berkenaan tersangkut pada pasir pantai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Mohd Ruslan Mat Kib berkata, seramai tujuh orang pelajar berkenaan tiba di kawasan pantai berkenaan kira-kira jam 6 pagi hingga 7 pagi untuk berkelah.
“Mereka yang merupakan warga Sudan telah pergi ke kawasan tepi pantai, namun tayar kenderaan yang dinaiki tersangkut pada pasir pantai.
“Mereka kemudiannya cuba mendapatkan khidmat tunda kenderaan, namun sekitar jam 9 pagi air laut pasang hingga menyebabkan kenderaan yang disewa mereka masuk ke dalam laut,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian pada jam 10.30 pagi selepas ia tular di media sosial.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati SUV terbabit telah pun dibawa keluar.
“Hasil temu bual dengan pelajar berkenaan, mereka datang ke situ untuk berkelah sambil barbeku sempena cuti Aidilfitri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!