Tun M bukan lagi Pengerusi Bersatu: Mohd Redzuan

Mohd Redzuan bercakap kepada media di pekarangan kediaman Perdana Menteri kelapan pagi ini.
Mohd Redzuan bercakap kepada media di pekarangan kediaman Perdana Menteri kelapan pagi ini.
A
A
A

BUKIT DAMANSARA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan perlu melalui proses pemilihan parti untuk dilantik semula bagi jawatan itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, jawatan itu kini dipangku Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jadi tidak ada isu boleh digembar-gemburkan yang Dr Mahathir adalah Pengerusi Bersatu kerana beliau telah letak jawatan.

"Kaedah perlembagaan menetapkan pemimpin yang berhenti atau diberhentikan boleh kembali mencalonkan diri dalam proses pemilihan parti," katanya kepada media di pekarangan kediaman Perdana Menteri kelapan itu pagi ini.

Bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menasihatkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berhenti membuat kenyataan yang boleh mengelirukan ahli Bersatu dan rakyat.

"Kenyataan yang dikeluarkan olehnya sedikit sebanyak melanggar peraturan parti.

"Kita sekarang tak mahu berpolitik, kita mahu membangunkan negara yang seminggu ini rakyat resah tiada kerajaan.

"Jadi saya sarankan semua pihak ambil peranan meredakan keadaan dan membentuk satu pasukan dengan ikhlas untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai beberapa pemimpin Bersatu yang menolak kepimpinan Muhyiddin katanya, beliau meletakkan perkara itu atas kebijaksanaan Presiden parti yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

"Saya rasa tak ramai pemimpin Bersatu yang melawan arus kena peka dengan Presiden. Tapi apabila dalam krisis ini pelbagai emosi yang timbul jadi kita kena redakan keadaan.

"Yang nampak betul-betul menentang Presiden adalah Dr Mahathir; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman," katanya.