Soalan ‘maut’ bila lagi nak kahwin

Asyraf
Asyraf
A
A
A

BILA lagi kamu mahu kahwin? Itu antara soalan yang sering diajukan oleh ahli keluarga kepada Asyraf Akasha, 41, setiap kali dia pulang ke kampung.

“Saya terpaksa tahan telinga mendengar soalan-soalan ‘maut’ itu hanya kerana belum berkahwin walaupun usia memasuki 40 tahun,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Bagaimanapun, pemuda berasal dari Sungai Petani itu berkata, kini soalan tersebut sudah terjawab setelah dia menikahi wanita dari Jitra, Nurul Ashikhin Ishak, 38, pada 18 Januari lalu.

“Ketika saya suarakan hasrat untuk bernikah, kalau boleh ahli keluarga nak bakar mercun dan bunga api. Betapa gembiranya mereka terutama ibu dan ayah. Malah ada ayat-ayat nakal seperti ‘aku ingatkan hang tak mau kahwin dah’ diajukan oleh pak cik saudara,” katanya sambil tersenyum mengenangkan saat indah berkenaan.

Bercerita lanjut, Asyraf yang merupakan seorang perunding takaful berkata, dia berkahwin lewat kerana meletakkan keluarga dan kerjaya sebagai keutamaan.

“Saya anak sulung daripada enam beradik dan saya utamakan mereka dahulu. Adik kedua saya yang kini berusia 40 tahun sudah memiliki anak sulung berusia 14 tahun. Selepas adik bongsu saya berkahwin, barulah tiba giliran saya.

“Saya tidak terasa hati sedikit pun. Mungkin pada usia muda ada rasa itu, tetapi apabila memasuki umur 30-an saya terus fokus kerjaya,” katanya.

Mengakui kahwin lewat memberikannya risiko untuk memiliki cahaya mata, namun bagi Asyraf, semuanya adalah ketentuan ALLAH.

Artikel Berkaitan:

“Dalam hidup ini kita perlu berusaha dan berserah. Usaha itu penting. Berserah itu juga penting. Kalau kita sudah berusaha, kita perlu berserah. Kita perlu reda dan terima apa yang Tuhan dah tentukan,” katanya.