Nasihat PM kepada Agong

A
A
A

PERLEMBAGAAN Persekutuan memperuntukkan kuasa pemerintahan atau eksekutif sebenar bagi Malaysia ialah Yang di-Pertuan Agong. Hal ini dinyatakan di dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Namun, Perkara 40 mengkehendaki Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas dan fungsi baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Sewaktu menulis artikel ini, persoalan banyak dikemukakan kepada saya dalam situasi sekarang, adakah Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat nasihat Perdana Menteri jika mahu membubarkan Parlimen? Saya cuba memberi penjelasan di sini tanpa merujuk kepada mana-mana blok politik dalam pendirian sebegini. Ulasan saya hanya berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa memberi sokongan atau sanggahan kepada mana-mana pihak.

Di Malaysia, pembubaran Parlimen diperincikan dengan lebih lanjut dan jelas dalam Perkara 55 iaitu antara lain Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari masa ke masa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya. Selanjutnya Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.Apabila Parlimen bubar, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh ​60 hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh itu.Oleh itu, adalah jelas Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 55 mempunyai tiga kuasa yang utama iaitu:

1. Memanggil sidang Parlimen

2. Memprorog Parlimen

3. Membubarkan Parlimen

Perkara 55(2) di atas secara spesifik tidak menyatakan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Hal ini juga hanya terhad kepada memprorog dan membubar Parlimen.Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Seri Paduka juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Membubarkan Parlimen begitu biasa bagi kita. Walau bagaimanapun memprorog Parlimen masih belum lazim dicatatkan dalam sejarah perundangan negara sepertimana tindakan yang diambil Perdana Menteri Britain baru-baru ini dan juga Raja James di Britain pada tahun 1600 selain di Malaysia pada tahun 1969. Peruntukan mengenai memprorog Parlimen ini masih belum diuji di mahkamah Malaysia dan tiada penghakiman telah dibuat mengenainya sebelum ini.

Berbalik kepada isu keperluan nasihat Perdana Menteri sebelum membubarkan Parlimen, persoalan timbul adakah Perkara 40 dan Perkara 55 di atas perlu dibaca bersama yang menjadikan satu keperluan untuk nasihat Perdana Menteri tersebut? Pada pandangan saya Perkara 40 menyentuh isu tanggungjawab berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong manakala Perkara 55 berkaitan kuasa Seri Paduka Baginda. Ia dua perkara berbeza dan tidak boleh dibaca bersama.

Malah berdasarkan prinsip undang-undang yang menyatakan perkara spesifik mengatasi perkara umum, boleh juga dikatakan Perkara 55 (yang merupakan hal spesifik berkaitan prorog dan bubar Parlimen) tidak menyebut keperluan nasihat Perdana Menteri mengatasi Perkara 40 yang bersifat umum.

Penggunaan perkataan-perkataan yang berlainan dalam Perkara 39 dan Perkara 40 juga perlulah diteliti. Perkara 39 menyatakan tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong manakala Perkara 40 menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri apabila menjalankan tugas-tugas dan fungsinya di bawah Perlembagaan, bukan dalam melaksana kuasa yang ada pada Seri Paduka.

Oleh yang demikian, pada pandangan saya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang jelas sekiranya Seri Paduka Baginda berkenan membubarkan Parlimen walaupun tanpa nasihat daripada Perdana Menteri.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia