Pengumuman Agong lantik Muhyiddin atasi krisis kepimpinan negara

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di hadapan kediaman mereka. -Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan hari ini dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman di hadapan kediaman mereka. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemelut kepimpinan negara yang sudah seminggu meresahkan pelbagai pihak berakhir hari ini dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia.

Seri Paduka berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata, istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan diadakan pada 10.30 pagi esok di Istana Negara.

Dalam melaksanakan kuasa eksekutif sebagai Raja Berperlembagaan, Seri Paduka tidak mahu melengahkan proses pelantikan Perdana Menteri kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Krisis kepimpinan negara yang dipercayai berpunca daripada cubaan mengatur semula landskap politik Malaysia menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari, menyebabkan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pada hari sama, Yang di-Pertuan Agong memperkenan peletakan jawatan Dr Mahathir dan beberapa jam kemudian berkenan melantik beliau sebagai Perdana Menteri Interim.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri kabinet seperti yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan.

Pada tarikh sama, Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar daripada PH manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 10 Ahli Parlimen pula bertindak keluar daripada parti yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Dalam usaha mencari penyelesaian terbaik untuk menangani situasi politik semasa negara, Seri Paduka bertitah mahu menemu bual kesemua 222 Ahli Parlimen secara individu pada Selasa dan Rabu lepas.

Kesediaan Seri Paduka mendengar sendiri pendapat mereka berhubung calon perdana menteri yang menerima sokongan majoriti itu dilakukan selaras Perkara 43 (2) Perlembagaan Persekutuan

Pada 25 Februari juga, Gabungan Muafakat Nasional yang merangkumi UMNO dan PAS menarik balik sokongan mereka kepada Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri kelapan serta menggesa pembubaran Parlimen bagi membuka laluan kepada pilihan raya mengejut selepas menyatakan bahawa kerajaan perpaduan pilihan mereka adalah tanpa DAP.

Keesokannya, dalam perutusan khas secara langsung menerusi televisyen, Dr Mahathir meminta maaf kerana berlakunya krisis politik itu dan menjelaskan mengapa beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pada hari yang sama, PH telah menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri berikutnya.

Pada 28 Februari, Bersatu, BN dan PAS menamakan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai calon Perdana Menteri.

Semasa kekalutan politik negara memasuki hari ketujuh hari ini, Majlis Presiden PH mengumumkan sokongan kepada Dr Mahathir sebagai calon PH bagi jawatan Perdana Menteri kelapan.

Untuk rekod, negarawan berusia 94 tahun itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei, 2018, selepas menerajui PH untuk menjatuhkan BN yang digelarnya sebagai kerajaan kleptokratik.

Pengumuman Istana Negara mengenai pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia menunjukkan kemelut kepimpinan negara boleh diselesaikan secara baik mengikut kuasa Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perlembagaan Negara.

Pelaksanaan itu dijayakan bukan dari sudut kuasa dan pentadbiran semata-mata tetapi kesungguhan rakyat untuk membiarkan proses peralihan berlaku secara lancar dan aman.

Ini turut membuktikan kematangan politik Malaysia walaupun dalam keadaan atau peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran negara. - Bernama