X

Kindly register in order to view this article
!

Mesej untuk parti gabungan Melayu bersatu

Ku Abdul Rahman
Ku Abdul Rahman
A
A

ALOR SETAR - Pelantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan memberi satu mesej besar bahawa parti gabungan Melayu harus bersama dalam menentukan kuasa politik Melayu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, perkembangan politik ini harus diterima baik semua pihak setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, ia juga menyaksikan parti-parti yang sebelum ini tidak sehaluan mampu mencapai kesepakatan demi untuk kebaikan negara.

“Yang penting Bersatu, UMNO dan Pas yang sebelum ini seteru, kini dapat duduk bersama dan bincang sebaiknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Ku Abdul Rahman berkata, dengan pelantikan Muhyiddin diharap semua ahli parti itu kembali merapatkan saf dengan mengenepikan perasaan tidak puas hati dalam berdepan kemelut itu.

“Sejak awal Ahli Parlimen Bersatu beri sokongan kepada Muhyiddin sebagai calon perdana menteri, pada masa sama kita iktiraf sumbangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak berjasa kepada parti dan negara,” katanya.

Beliau turut menafikan Bersatu berpecah kepada kem Mahathir dan kem Muhyiddin selain parti itu kini goyah.

“Tak betul, Bersatu tidak berpecah kepada mana-mana kem. Kedua-duanya adalah pengasas yang tubuhkan parti ini, saya percaya mereka bekerjasama sebagai satu pasukan sehingga ke hari ini. Semua ahli harus bersyukur kerana Perdana Menteri adalah dari Bersatu,” katanya.

Menurutnya, beliau juga yakin Dr Mahathir merestui Muhyiddin sejak awal kerana kedua-duanya bukan calang-calang pemimpin.

Mengulas dakwaan Muhyiddin dianggap pembelot dalam Bersatu sebelum ini, katanya, tiada unsur belot berlaku dalam parti itu dan mungkin andaian pihak luar.

“Kemungkinan ketika itu pimpinan sedang atur strategi untuk kelirukan musuh politik, kerana Dr Mahathir pemikirannya hebat dan sukar diramal, sama ada ia strategi atau sebaliknya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus