Dr Sahruddin ucap tahniah kepada Muhyiddin

 Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin Jamal
A
A
A

MUAR - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Menerusi kenyataan beliau hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu yakin terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam memacu pembangunan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat di negara ini sebagai Perdana Menteri.

"Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah atas perkenan melantik YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri Ke-8.

"Sebagai ADUN Bukit Kepong yang terletak di dalam Parlimen Pagoh yang diwakili Muhyiddin, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan sebagai Perdana Menteri yang baharu," katanya.

Dr Sahruddin berharap keputusan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah terbaik kepada negara dan rakyat di Malaysia, sekali gus mengakhiri kemelut politik yang telah melanda tanah air sejak beberapa hari yang lalu.

"Saya mendoakan semoga pentadbiran kerajaan baharu di peringkat Persekutuan diterajui oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan dapat berjalan dengan baik serta lancar," katanya.

Artikel Berkaitan: