Pas hanya sokong gabungan tanpa DAP

Hashim pada sidang akhbar selepas ucaptama Himpunan Pemuda Pas Istiqamah (HIMMAH) di Kompleks Pas hari ini.
Hashim pada sidang akhbar selepas ucaptama Himpunan Pemuda Pas Istiqamah (HIMMAH) di Kompleks Pas hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Penolakan Pas terhadap mana-mana gabungan parti politik adalah jelas, iaitu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pendirian parti itu tidak berubah menyebabkan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad ditarik balik setelah Pakatan Harapan (PH) kembali menyokong Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri.

Menurutnya, namun sekiranya Amanah berhasrat menjalin kerjasama, parti itu hendaklah meninggalkan rakan sekutunya, DAP.

“Pas sokong calon perdana menteri yang tidak melibatkan DAP, itu syarat utama. Tanpa mengira siapa pun yang menubuhkan kerajaan serta menolak DAP dan Amanah, kerana Pas tidak boleh bekerjasama dengan mereka. Jika Amanah insaf dan lebih terbuka untuk diterima, hendaklah dengan syarat ditetapkan parti, ” katanya pada sidang akhbar selepas ucaptama Himpunan Pemuda Pas Istiqamah (HIMMAH) di Kompleks Pas hari ini.

Hashim berkata, disebabkan itu pendirian awal Pas adalah membubarkan Parlimen dan menyerahkan semula kepada rakyat untuk memilih mandat baharu susulan ketidaktentuan politik kini.

Menurutnya, tindakan PH yang membuat pusingan U dengan menyokong Dr Mahathir semula jelas menggambarkan kepimpinan parti itu tiada pendirian tetap.

“Mereka tidak bergantung pada satu sandaran kukuh, kita boleh kerjasama dengan MCA, MIC, kalau mereka mahu sertakan DAP, kita boleh putus kerjasama bila-bila masa kalau bercanggah dengan persetujuan,” katanya.

Hashim turut menasihatkan agar Dr Mahathir tidak menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri interim dan melakukan sesuka hati sehingga memporak-perandakan politik negara.

Artikel Berkaitan:

“Diharap beliau tidak bertindak melebihi batas ditetapkan sebagai Perdana Menteri interim, nak panggil Parlimen bersidang dan lulus bajet, adakah ini hak beliau? Seolah beliau lakukan sesuka hati, ini menambahkan lagi penolakan rakyat terhadap beliau, sama seperti penolakan terhadap beliau sebagai calon perdana menteri,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar parti politik menyingkirkan penghasut atau ‘anai-anai dalam rumah yang mahu merosakkan rumah’ terlebih dahulu demi kestabilan politik negara.

“Benda ni tak boleh terus hidup subur dalam masyarakat jika ada penghasut, musnahkan dulu perosak ini.

Sebarang keputusan parti tertakluk kepada pendirian disuarakan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sepertimana yang dipersetujui dalam pemukiman Muafakat Nasional baru-baru ini,” katanya.