Pelajar cemerlang kini terlantar

Amir kini hanya terlantar dengan pergerakan terbatas.
Amir kini hanya terlantar dengan pergerakan terbatas.
A
A
A

BESUT- Nahas jalan raya yang menimpa seorang pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra di Jerteh mengubah kehidupan remaja berkenaan apabila dia kini hanya mampu terlantar.

Muhammad Amir Mohd Nazir, 19, terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa untuk mengurus diri dan berulang ke hospital bagi menjalani rawatan serta fisioterapi.

Menurut bapanya, Mohd Nazir Abd Latif, 52, walaupun berat hati melihat keadaan anaknya itu, namun dia dan keluarga reda serta berharap semoga anaknya terus kuat semangat untuk kembali sihat dan pulih.

"Sekarang ini dia tidak boleh bercakap, pergerakannya juga terhad. Tapi selepas dia jalani fisioterapi, keadaannya semakin baik, kaki dan kepalanya sudah boleh digerakkan, cuma untuk duduk, masih belum boleh.

"Sebagai bapa, saya harapkan Amir kuat semangat. Saya juga bersyukur kerana kenalannya, pihak sekolah dan pihak luar turut sama masih mengingati dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kami," katanya yang hanya bekerja sendiri.

Amir kelihatan gembira bersama sijil kecemerlangan dan bantuan yang diterima.
Amir kelihatan gembira bersama sijil kecemerlangan dan bantuan yang diterima.

Sementara itu, kejayaan Amir yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.24 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang lalu turut membanggakan keluarga.

Pihak SMK Putra bersama persatuan ibu bapa dan guru serta wakil Kelab Kebajikan Keluarga Anak Istimewa Terengganu (KAIS) hadir ke rumahnya di Kampung Awek, di sini bagi menyerahkan sijil kecemerlangan dan bantuan kepada Amir dan keluarga.

Artikel Berkaitan:

Sijil kecemerlangan itu disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG, Ismail Abdul Ghani dan Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Putra, Jenny @ Juwariah Abdullah mewakili pengetua manakala bantuan disampaikan oleh Yang Dipertua KAIS, Mazlan Mohamad.