X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin mohon semua pihak hormati keputusan Agong

Muhyiddin ketika ditemui media di kediaman beliau, sebentar tadi. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri baharu Tan Sri Muhyiddin Yassin mohon semua rakyat terima keputusan istana demi kesejahteraan negara

Menurutnya, beliau berharap negara akan mendapat masa depan yang lebih cemerlang dan terbilang.

"Saya berharap semua rakyat Malaysia menerima baik keputusan yang dikeluarkan oleh pihak Istana hari ini.

"Terima kasih. Doakan kita untuk berjaya mendapat masa depan negara yang lebih cemerlang, masa depan yang lebih terbilang," katanya ketika ditemui media di kediaman beliau sebentar tadi.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Kenyataan Istana Negara
Kenyataan Istana Negara

Majlis mengangkat sumpah akan berlangsung di hadapan Seri Paduka di Istana Negara esok pada jam 10.30 pagi.

"Insya-ALLAH saya akan berada di Istana Negara esok," kata Muhyiddin.

Muhyiddin terima sokongan 114 ahli Parlimen

Sementara itu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui di pekarangan kediaman Muhyiddin berkata, Presiden Bersatu itu menerima sokongan sebanyak 114 ahli Parlimen daripada 222.

"Dengan jumlah itu, kita telah melepasi jumlah. Ini bukan kerajaan minoriti kerana jumlah 114 ialah majoriti.

"Saya tidak dapat jelaskan secara terperinci ahli Parlimen mana memberikan sokongan tetapi daripada jumlah 114 ini ia terdiri daripada Bersatu, UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS)," katanya.

Menurutnya, proses pencalonan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka telah melaksanakan sebaiknya dan kita menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong.

"Kita daripada Pas ingin mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin kerana telah dipilih mengikut proses demokratik dan ia tidak patut dipersoalkan oleh mana-mana pihak," katanya.

Takiyuddin menambah, ini bukan kali pertama Pas menjadi kerajaan kerana pernah berada dalam pentadbiran pada 1974.

"Kita bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum meninggalkan mereka. Kemudian kita menjadi kerajaan di Kelantan selama 30 tahun dan di Terengganu buat kali kedua.

"Ini merupakan pencapaian terbaik hasil daripada Muafakat Nasional bersama UMNO. Kami dari Pas dan UMNO tampil sebagai komponen besar," katanya.

Menurutnya, buat masa sekarang beliau belum mengetahui nama kerajaan baharu yang bakal dibentuk selepas ini.

"Namun begitu, kami akan memberikan kerjasama kepada Perdana Menteri dan khidmat terbaik kepada rakyat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!