Pelajar B40 boleh bayar yuran MRSM secara ansuran, minta tangguh

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Para pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), dari kalangan keluarga golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang tidak berkemampuan dibolehkan untuk membuat pembayaran pendaftaran kemasukan, secara ansuran atau membuat penanguhan bayaran.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Mara memaklumkan bahawa para pelajar berkenaan boleh membuat permintaan berkenaan kepada pihak pengurusan maktab ketika hari pendaftaran.

"Pelajar dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pihak Mara sentiasa memberikan keutamaan kepada pelajar B40 serta memastikan cita-cita mereka untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM tidak terhalang," jelas Mara dalam satu kenyataan hari ini.

Mara menetapkan yuran pendaftaran bagi pelajar baharu tingkatan 1 dan 4 untuk kemasukan ke MRSM 2019 sebanyak RM342.00.

Sebahagian besar daripada yuran ini adalah untuk kegunaan dan menampung aktiviti pelajar sepanjang pembelajaran mereka di MRSM.

Dalam pada itu Mara turut memaklumkan bahawa bagi pelajar dari kalangan miskin tegar, pihak mereka telah pun memperkenalkan Program Bantuan Untuk Pendidikan Mara (Budi).

Pelajar yang terpilih dalam program ini akan dipertimbangkan untuk mendapatkan wang saku berjumlah RM50.00 sebulan serta pengecualian bayaran wang caruman sebanyak RM60.00 sebulan.

"Pada tahun ini, Mara menyasarkan 500 orang pelajar akan ditawarkan skim Budi di mana bantuan ini turut ditaja oleh beberapa GLC dan juga pusat zakat.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan dengan itu, Mara turut mempelawa syarikat-syarikat dan orang ramai terutamanya anak-anak Ansara yang telah berpeluang mendapat pendidikan terbaik di MRSM suatu ketika dahulu untuk turut serta menyumbang dalam program Budi," kata kenyataan itu lagi.